Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Gerakan siswa, NGO sokong demo antirasuah di Sabah
Diterbitkan:  Dec 24, 2024 9:57 PM
Dikemaskini: 1:57 PM

Beberapa pertubuhan siswa dan NGO menyokong himpunan antirasuah Suara Mahasiswa UMS yang akan diadakan pada 31 Disember, menegaskan rasuah bukan sahaja jenayah tetapi pengkhianatan terhadap rakyat.

Gerakan Mahasiswa Pro-Siswa Kolej Komuniti Malaysia berkata pentadbiran Sabah dicemari dakwaan “budaya rasuah dan salah guna kuasa.”

"Rasuah bukan sekadar jenayah, ia adalah pengkhianatan terhadap rakyat. Sabah, yang kaya dengan hasil bumi dan keindahan alam, telah lama menjadi mangsa kerakusan pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

"Gerakan ini adalah simbol keberanian mahasiswa dan rakyat dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah yang berhak menikmati pembangunan dan kesejahteraan.

"Kami mendukung penuh tuntutan mereka untuk siasatan telus ke atas semua skandal rasuah yang melibatkan negeri ini dan menolak pemimpin yang terpalit dengan korupsi daripada terus memegang kuasa," kata pertubuhan siswa itu pada satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Pertubuhan Mahasiswa Kongress Gombak (Congress) menyeru pergerakan pelajar di Semenanjung menganjurkan himpunan serupa untuk menunjukkan setiakawan kepada Suara Mahasiswa UMS.

"Mahasiswa tidak seharusnya terperangkap dalam ruang lingkup keselesaan kampus semata-mata.

Simbol perjuangan nasional

"Sebaliknya mahasiswa memiliki tanggungjawab moral dan intelektual untukyang menyuarakan isu-isu rakyat, demi memastikan keadilan sosial dan nilai-nilai demokratik terus diperkasa.

"Langkah ini bukan sahaja memperkukuh perpaduan antara mahasiswa dan rakyat Sabah malah menjadi simbol keutuhan perjuangan nasional dalam menentang segala bentuk penyelewengan dan ketidakadilan," tegas kumpulan siswa itu.

Suara Mahasiswa UMS pada 20 Disember mengumumkan mereka akan mengadakan himpunan tersebut pada malam Tahun Baharu, dengan polis telah menerima pemberitahuan yang dikemukakan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Jadi, kepada semua rakyat Sabah, jangan takut untuk turun dan nyatakan pendirian kita pada 31 Disember.

"Ini hak kita sebagai rakyat biasa untuk menegakkan demokrasi di negeri ini," kata jurucakap kumpulan itu, Sudirman Arsyad.

Dia turut menyatakan beberapa tuntutan utama akan diketengahkan dalam himpunan tersebut, termasuk peletakan jawatan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (gambar atas) dan desakan agar SPRM mempercepatkan siasatan terhadap skandal rasuah yang melibatkan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah.

Sudirman juga membangkitkan bantahan terhadap pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru, perkembangan yang banyak dikritik kerana bekas ketua menteri paling lama itu pernah terpalit dengan dakwaan rasuah.

Menyuarakan sentimen serupa, Pusat Pembangunan Rakyat (Mandiri) menegaskan isu rasuah yang telah lama menghantui Sabah tidak boleh lagi ditoleransi.

"Walaupun bukti video telah dikemukakan mengenai dakwaan rasuah, tiada tindakan konkrit diambil dalam era Madani yang didakwa ini.

"Malah, Musa yang sebelum ini terpalit dengan isu rasuah dan dikritik oleh perdana menteri ketika beliau menjadi pembangkang kini dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri," katanya.

NGO itu turut menggesa semua individu yang terlibat dalam skandal rasuah meletakkan jawatan dan dihadapkan ke mahkamah sehingga terbukti tidak bersalah.

"Dan kami juga menggesa polis menghormati hak rakyat untuk berhimpun seperti yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS