China melahirkan rasa tidak puas hati dan bantahan tegas terhadap siasatan Seksyen 301 Amerika Syarikat (AS) ke atas dasar China dalam industri semikonduktor, lapor Xinhua.
Menurut Kementerian Perdagangan pada Isnin, siasatan itu dikatakan akan mengganggu dan memutarbelitkan rantaian industri serta bekalan semikonduktor global, selain merugikan kepentingan perniagaan dan pengguna di AS.
AS memberikan subsidi besar kepada industri cip domestiknya melalui undang-undang seperti Akta CHIPS dan Sains.
Syarikat semikonduktor AS menguasai kira-kira 50 peratus pasaran global.
Sebagai perbandingan, cip buatan China hanya menyumbang 1.3 peratus daripada pasaran AS dan eksport cip China ke AS jauh lebih rendah daripada import dari negara itu, menurut kementerian tersebut yang memetik laporan terkini Jabatan Perdagangan AS.
China menggesa AS agar menghormati fakta dan peraturan multilateralisme serta menghentikan tindakan salahnya dengan segera.
Kementerian itu menegaskan, China akan memantau perkembangan siasatan ini dengan teliti dan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk mempertahankan hak serta kepentingannya secara tegas.
- Bernama-Xinhua