Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan 2 lelaki kes penyokong bola gaduh di stesen LRT

Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dengan kes pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak dalam kejadian di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang-Sri Petaling di Kuala Lumpur Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata kedua-dua lelaki berumur 22 dan 24 tahun itu ditahan hari ini di kediaman masing-masing di ibu negara dan Ampang, Selangor.

“Kedua-dua suspek direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis memandang serius berhubung kejadian ini dan menyeru orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa perbuatan yang salah di sisi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 21 Dis lepas, pihak polis mengesan satu video tular yang memaparkan kejadian pergaduhan di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang-Sri Petaling.

Insiden pergaduhan berkenaan melibatkan antara 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah serta menendang pintu tren hingga mengakibatkan kerosakan yang menyebabkan pihak Prasarana Malaysia Berhad membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS