Tayar sebuah lori treler yang tercabut dikenal pasti sebagai punca kemalangan lima kenderaan di kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam tadi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kejadian itu menyebabkan sebuah bas persiaran yang cuba mengelak tetapi terbabas lalu merempuh kenderaan lain.
“Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan yang mengakibatkan kehilangan tujuh nyawa tersebut berpunca daripada tayar sebuah lori treler yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh tiga kenderaan dari arah bertentangan.
“Saya telah mengarahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ untuk segera menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kemalangan tersebut dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori treler serta bas yang terlibat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sambil merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban, Loke berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat.
Katanya, ia bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Dalam kejadian itu, tujuh orang termasuk lima sekeluarga maut manakala 33 lain cedera dalam kemalangan 8.45 malam semalam.
Ia membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan MPV. Bas persiaran yang terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan hingga menyebabkan lima penumpang Toyota Estima dan pemandu bas berkenaan meninggal dunia.