Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Thamaraj, Fauzan dinaikkan pangkat sarjan
Diterbitkan:  Dec 24, 2024 2:18 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

Pesilat negara,  V Thamaraj yang mencipta sejarah sebagai atlet berbangsa India pertama bergelar juara dunia dinaikkan pangkat daripada Koperal kepada Sarjan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 2 Jan ini.

Setiausaha Persatuan Silat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mej Noorsyahiddawati Abdullah Sani berkata ia sebagai penghargaan buat atlet berusia 28 tahun yang berkhidmat dalam Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) di Sibu, Sarawak itu susulan kejayaannya meraih pingat emas kategori bebas putra di Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ahad lepas.

Beliau berkata turut diberikan kenaikan pangkat Sarjan seorang lagi pesilat yang meraih pingat emas acara silat kreatif tunggal putra Ahmad Fauzan Hadi.

“Dia (Thamaraj) akan dipakaikan pangkat Sarjan bersama Kpl Ahmad Fauzan Hadi. Kita akan meraikan mereka pada 26 Dis ini.

“Ia satu penghargaan besar buat mereka terutama sekali mereka adalah KPTD, jadi mereka layak untuk dipakaikan pangkat,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.

Menurut Noorsyahiddawati, beliau teruja melihat pencapaian Thamaraj yang beralih daripada sukan taekwondo kepada seni silat hingga membuahkan hasil  dengan bergelar juara dunia.

Beliau berkata atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu telah menunjukkan minatnya dalam sukan silat dan pihaknya telah melatih serta menghantar Thamaraj menyertai Kejuaraan Silat Kebangsaan pada 2022.

“Dari situ dia (Thamaraj) ‘laku’ ke skuad negara selain pencapaiannya sepanjang tahun ini,” katanya.  

Thamaraj muncul antara pesilat senior yang menyumbang enam pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat Dunia, menyaksikan Malaysia turut membawa pulang sembilan perak dan empat gangsa.

Skuad remaja negara turut cemerlang dengan lima emas, empat perak dan empat gangsa. 

Pada aksi di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi (ADNEC) itu, Thamaraj menewaskan pesilat Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyobek, untuk membawa pulang pingat emas dan muncul juara dunia.

Sementara itu, Thamaraj ketika ditemui berkata kejayaan menewaskan Khudoyberdiev ibarat membalas dendam kekalahan sebelum ini dan pada masa sama memberikan keyakinan buatnya mencipta pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa khususnya Kejohanan Asia di Uzbekistan tahun depan.

"Saya pernah bertemu beliau (Khudoyberdiev) sebelum ini tetapi kemenangan dibatalkan kerana (pukulan) terkena di leher. Ia seperti pelanggaran berat.

"Kejohanan seterusnya adalah Kejohanan Asia di Uzbekistan. Sasaran saya sudah pasti untuk menang emas selepas pingat perak pada dua edisi lepas,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS