Seorang pemimpin Pemuda Umno menyeru masyarakat Sabah supaya tidak terbabit dengan sebarang perhimpunan yang dijadualkan akan diadakan pada 31 Dis ini.
Exco Pemuda Umno, Anil Sandhu, berkata dia telah menerima maklumat tentang cadangan untuk mengadakan perhimpunan di Kota Kinabalu pada tarikh berkenaan.
Anil turut menyeru penganjur perhimpunan supaya membatalkan cadangan itu dan jika ada isu berbangkit yang ingin disuarakan, supaya menggunakan saluran yang betul.
"Budaya berhimpun ini bukanlah sebahagian daripada norma masyarakat kita. Jangan kita meniru amalan negara-negara lain seperti yang berlaku di Bangladesh, yang akhirnya merugikan semua pihak.
"Jika ada sebarang ketidakpuasan, terdapat saluran yang lebih wajar dan berhemah untuk meluahkan pandangan tanpa perlu melakukan perhimpunan.
"Kesan negatif daripada tindakan sedemikian perlu difikirkan dengan mendalam.
"Oleh itu, tidak kira siapa penganjurnya, saya menyeru agar perhimpunan ini dibatalkan demi kebaikan bersama," katanya dalam kenyataan.
Jumaat lalu, Malaysiakini melaporkan sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggelarkan diri mereka sebagai Suara Mahasiswa UMS merancang penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember ini.
Jurucakap kumpulan itu, Sudirman Arsyad berkata perhimpunan itu akan menyenaraikan beberapa tuntutan mereka termasuk peletakan jawatan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan supaya SPRM mempercepatkan siasatan berhubung skandal rasuah yang menggegarkan pentadbiran pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sementara itu, terdapat satu lagi himpunan tular di media sosial yang dikatakan dianjurkan oleh pihak berlainan yang menyokong pentadbiran Hajiji.
Himpunan Aman Bangkit Sabahan itu dijadualkan pada hari yang sama sekitar jam 2 petang di hadapan Menara Kinabalu.
Dalam pada itu Anil menyeru mahasiswa supaya tidak terlibat dengan sebarang himpunan berkenaan dan memberi tumpuan pada pelajaran.
"Kepada golongan mahasiswa, saya merayu agar anda menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran.
"Ini adalah masa untuk membina ilmu, bukan terlibat dalam urusan pentadbiran negeri atau politik. Insya-Allah, apabila tiba masanya, selepas mencapai kematangan dan memiliki kerjaya yang kukuh, barulah anda boleh menyumbang dalam arena politik dengan lebih bermakna," katanya.
Anil turut menyeru pihak berkuasa terutamanya pasukan polis, agar mengambil langkah tegas menilai segala risiko yang mungkin timbul dan sedaya upaya menghalang perhimpunan seperti ini.