Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PNB umum dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam 5 tahun
Diterbitkan:  Dec 24, 2024 11:50 AM
Dikemaskini: 7:15 AM

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengumumkan pembayaran agihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Menurut Bernama, Permodalan Nasional Bhd (PNB) - yang merupakan pemilik ASNB - berkata jumlah agihan adalah sebanyak RM10.1 billion melibatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.

Sebagai antara syarikat pengurusan dana terbesar Malaysia, PNB menyatakan pendapatan 5.75 sen seunit merupakan peningkatan yang baik berbanding tahun sebelumnya.

Ia menjadikan agihan pendapatan kepada pemegang unit sejak ia diwujudkan berjumlah RM196.5 bilion.

Pengerusi Kumpulan PNB Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, PNB berbesar hati apabila dapat memberi dividen yang paling kukuh sejak tempoh lima tahun lalu.

"Ini meneruskan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi," katanya dalam kenyataan.

Pada tahun lalu, agihan pendapatan dana ASB untuk tahun lalu adalah sebanyak 5.25 sen seunit.

Sementara itu, Presiden dan CEO kumpulan PNB Abdul Rahman Ahmad berkata peningkatan itu ekoran prestasi lebih kuat dalam pasaran ekuiti Malaysia.

Ketika sesi taklimat bersama editor di Merdeka 118 di Kuala Lumpur semalam, Abdul Rahman berkata PNB menyasarkan pertumbuhan yang lebih agresif, dengan matlamat untuk meningkatkan aset di bawah pengurusan daripada RM347 bilion pada tahun ini kepada RM400 bilion menjelang 2027.

Tahun ini, PNB mencatatkan kenaikan jumlah akaun sebanyak 3.2 peratus kepada 16.2 juta akaun, dengan ASNB menambah lebih 400,000 pemegang unit baru.

Untuk mendorong pelaburan berulang, Abdul Rahman berkata PNB merancang untuk menggalakkan rakyat mengamalkan tabiat menabung yang lebih kuat.

“Sebagai contoh, kami akan mempromosikan idea bahawa walaupun anda menyimpan RM150 sebulan, dan membiarkannya berkembang selama 10 tahun dengan simulasi penggandaan yang konservatif iaitu lima peratus - lebih rendah daripada 5.5 atau 5.75 peratus yang ditawarkan oleh ASB - anda boleh mengumpul hampir RM23,000,” katanya lagi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS