ULASAN l Adakah benar satu surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang menyeru sumbangan bagi membayar saman sebanyak RM 850,000.00 atas nama 'Derma Jihad'?
Jika tidak ia perlu dinafikan oleh pemimpin PAS. Jika benar ia suatu yang amat dikesali.
Kalimah jihad mempunyai konotasi yang rapat dengan agama Islam. Ia terkait dengan perjuangan suci menegakkan dan membela slam.
Tujuan 'Derma Jihad' adalah untuk membayar hukuman saman malu yang disebabkan oleh fitnah yang dihamburkan oleh ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad.
Semua orang boleh menilai kedegilan dan keras kepala Siti Mastura, sedangkan dia mempunyai peluang untuk memohon maaf atas kesilapan yang dilakukannya.
Antara nama keluarga 'Lim' dan 'Lee' juga tidak dapat dibezakan dan lebih menyedihkan lagi ia berdasarkan satu sumber yang tidak boleh dipertahankan.
Asas untuk saling membantu dalam Islam adalah kebaikan dan taqwa. Ia dengan jelas disebut dalam al-Quran :
.....وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰنِۚ........﴾
Al-Māʾidah, Ayat 2
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat perkara kebajikan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa dan pencerobohan....
Kita juga ditegah dengan jelas untuk saling membantu bagi perkara maksiat dan merampas atau menceroboh hak orang lain.
Saman ini adalah atas kesalahan fitnah. Fitnah dengan jelas membawa kepada keburukan dan permusuhan. Ia boleh menjejaskan kehormatan dan menjatuhkan maruah seseorang. Adakah ini 'jihad' yang dimaksudkan oleh PAS?
Adalah lebih sesuai digunakan 'Derma Selamatkan Kerusi Kepala Batas' berbanding 'Derma Jihad'.
Adakah PAS telah berubah menjadi parti yang mendokong fahaman 'asabiyah'? Secara jelas dalam hadis dirakamkan Sabda Baginda Rasulullah SAW:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ؟ قَالَ : لَا، وَلَكِنْ مِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْمِ.
“Wahai Rasulullah, adakah dianggap asabiyah apabila seseorang yang sayang kepada kaum bangsanya? Jawab Baginda SAW: ‘Tidak, tetapi asabiyah ialah apabila seseorang itu menolong kaumnya dalam perkara kezaliman.”
(Sunan Ibn Majah)
Sabda Baginda saw lagi:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ
“Bukan termasuk golongan kami orang yang mengajak kepada asabiyah, bukan termasuk golongan kami orang yang berperang kerana asabiyah, dan bukan termasuk golongan kami orang yang mati kerana asabiyah.”
(HR Abu Dawud)
Memetik tulisan di laman sesawang Harakahdaily bertarikh 8/3/2018:
Ringkasnya, amalan membela kesalahan puak sendiri merupakan ajaran jahiliah yang ditegah Nabi SAW Sekiranya kita berdegil untuk tetap mempertahankan kesalahan atas nama “setia kawan atau satu parti”, bersiap sedialah dengan ancaman yang disebutkan tadi. Sudahlah mati di dalam jahiliah, Nabi pula tidak mengaku umat.
Justeru, jangan kaitkan kalimah 'jihad' dengan gerakan pembelaan terhadap pemfitnah. Jumlah RM 850,000.00 bukanlah satu jumlah yang kecil. Tambahan pula ia akan dibayar kepada 'musuh' politik PAS iaitu para pimpinan DAP.
AMIDI ABDUL MANAN adalah Pengarah, Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama, PKR.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.