Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Islam, Kristian mampu bina masyarakat berkualiti, kata PAS
Diterbitkan:  Dec 24, 2024 11:06 AM
Dikemaskini: 3:14 AM

PAS percaya penggemblengan kekuatan moral dua komuniti agama terbesar iaitu Islam dan Kristian mampu membina masyarakat Malaysia yang lebih berkualiti dan bermoral.

Menerusi satu kenyataan media mengucapkan selamat hari Krismas, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata PAS meraikan dan menyambut baik aspek pengayaan pengalaman itu dan kesan positifnya ke arah pembinaan masyarakat Malaysia berdasarkan nilai-nilai agama yang luhur dan suci.

"Dengan latar belakang akar agama Ibrahimiyyah yang sama, PAS percaya umat Islam dan penganut Kristian mempunyai banyak persamaan, baik dari segi asas kepercayaan mahupun amalan, dan mampu menyumbang kepada penciptaan negara yang lebih baik.

"Kepercayaan monoteisme, perkongsian para Nabi dan Rasul, kedudukan mulia Maryam, kehidupan selepas mati serta balasan syurga dan neraka, amalan berpuasa dan keunggulan sedekah adalah antara persamaan yang bertujuan membentuk watak manusia yang baik serta berguna kepada diri sendiri dan juga masyarakat.

"PAS percaya penggemblengan kekuatan moral dua komuniti agama terbesar ini mampu memainkan peranan besar ke arah melahirkan dunia yang lebih aman dan bebas daripada keruntuhan akhlak, peperangan, kezaliman, kebencian, kelaparan dan ketidakadilan untuk semua orang, kelompok dan rantau," katanya.

Takiyuddin dalam kenyataan itu mewakili PAS turut merakamkan ucapan selamat menyambut hari Krismas kepada semua penganut Kristian di Malaysia.

“Semoga sambutan tahun ini akan berjalan dengan selamat dan lancar sebagaimana tahun-tahun lepas.

"Sebagai komuniti agama ketiga terbesar di negara ini, sambutan hari kebesaran penganut Kristian adalah sebahagian penting budaya besar Malaysia yang menambah kepada warna-warni pengalaman hidup rakyat dan menyumbang kepada pembentukan jati diri masyarakat yang lebih matang, saling menghormati serta bertimbang rasa," katanya lagi.

Baru-baru, tradisi mengucapkan hari Krismas oleh umat Islam kembali menjadi isu.

Bagaimanapun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berdasarkan sumber daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan menjelaskan umat Islam diboleh mengucapkan hari Krismas. 

Namun ini dengan syarat ucapan itu berniat untuk muhibah dan bukan mengiktiraf atau membenarkan kepercayaan agama lain serta tidak menggunakan simbol atau lambang keagamaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS