Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UM tahan kerja profesor didakwa kongsi gambar bogel
Diterbitkan:  Dec 23, 2024 5:54 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

Universiti Malaya (UM) mengenakan tindakan tahan kerja terhadap pensyarah institusi pengajian awam itu yang didakwa menghantar mesej gambar bogelnya kepada pelajar.

"Pensyarah yang dikaitkan dengan isu penghantaran mesej jelik seksual telah diambil tindakan tahan kerja di bawah Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.

"Universiti Malaya akan terus memastikan persekitaran kampusnya selamat dan kondusif.

“(Ini) termasuklah dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan salah laku tanpa mengira jawatan atau status," kata Komunikasi Korporat UM pada satu kenyataan hari ini.

Kelab Feminisme UM (gambar atas) pada 20 Dis menuntut UM menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap ahli akademiknya yang dikaitkan dengan salah laku gangguan seksual dengan menghantar gambar bogel kepada penuntut.

Kelab berkenaan telah menghantar memorandum menuntut tindakan segera diambil pentadbir UM terhadap ahli akademik berstatus profesor tersebut.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir pada Sabtu lepas mengarahkan UM melaksanakan siasatan segera terhadap dua dakwaan gangguan seksual yang mencemarkan nama baik universiti itu.

Zambry berkata arahan juga dikeluarkan supaya UM tidak mengambil ringan kes tersebut bagi menegakkan keadilan selain menegaskan kementeriannya sama sekali tidak bertolak ansur dengan salah laku yang bertentangan undang-undang negara.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 21 Dis pula berkata pihaknya memandang serius sebarang isu melibatkan salah laku dan pelanggaran melibatkan kakitangan institusi pengajian tinggi.

Pada 18 Disember lalu, UM berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan seorang pensyarah menghantar gambar bogelnya kepada beberapa pelajar.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS