Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perlu tegas banteras perjudian dalam talian, kata mufti Kelantan

Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad menggesa pihak berkuasa supaya membanteras kewujudan premis perjudian dalam talian sebelum ia menjadi semakin parah.

Mohamad Shukri yang menzahirkan kerisauan itu berkata, perjudian boleh membawa kemudaratan dalam masyarakat, jika tidak dibendung.

Mohamad Shukri Mohamad

Katanya, usaha membanteras kegiatan itu harus dimulakan di peringkat awal lagi secara habis-habisan.

"Kita mengharapkan pihak-pihak  berautoriti seperti PDRM, kita harap akan bertindak dengan lebih tegas supaya yang kecil-kecil (pusat perjudian) tidak jadi lebih besar.

"Apa-apa pun kita kena padam (banteras) peringkat awal lagi," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, lebih membimbangkan lagi jika ia menjadi barah dalam kalangan umat Islam khususnya anak muda.

Mohamad Shukri mengulas kenyataan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Melayu sebelum ini yang mendesak kerajaan supaya membanteras kewujudan premis perjudian dalam talian.

Pada 17 Dis lalu, Malaysiakini melaporkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mempersoalkan lambakan premis perjudian dalam talian yang seolah-olah gagal ditangani oleh pihak berkuasa secara berkesan.

Syed Hassan Syed Ali

Justeru Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali, meminta pihak berkuasa khususnya polis supaya membanteras kewujudan premis berkenaan yang dijangka telah wujud secara haram melebihi 100 unit.

Katanya, meskipun banyak pendedahan dan seringkali dibangkitkan oleh pelbagai pihak, namun mereka seolah-olah 'kebal' daripada tindakan pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata dia yakin pihak berkuasa akan membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa.

"Saya menaruh harapan pihak tinggi pihak berautoriti ambil tindakan tegas, pusat-pusat perjudian, pelacarun, pusat hiburan yang melanggar undang-undang ini perlu dibanteras demi kebaikan masyarakat.

"Kita tak akan bahagia jika masyarakat tak bahagia, kita tak fikir orang lain, pada masa sama mendatangkan mudarat pada orang lain, kita berjudi kononnya untuk selesaikan masalah, tapi dalam masa sama mendatangkan mudarat pada org lain," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS