1MDB dan anak syarikatnya mengemukakan saman terhadap penyedia perkhidmatan korporat Amicorp Group dan pengasas bersamanya, Toine Knipping untuk lebih AS$1 bilion.
Saman itu, yang difailkan di British Virgin Islands pada 20 Disember lalu, sebagai sebahagian daripada usaha global untuk mendapatkan semula aset yang dicuri daripada 1MBD.
Dalam satu kenyataan syarikat itu menuduh Amicorp membiarkan penyelewengan dana 1MDB.
"Kami membawa tindakan ini untuk mencari keadilan untuk peranan yang kami dakwa Amicorp mainkan dalam memudahkan pengubahan dan pelesapan berbilion dolar dana yang dicuri.
"Kami mendakwa ini dicapai melalui penciptaan struktur yang direka untuk mengaburkan kecurian secara sengaja, dan Amicorp sengaja mencipta struktur kompleks untuk menutup wang yang dicuri sebagai aset dan menjadikannya sukar untuk dikesan," kata jurucakap 1MDB.
Amicorp pertama kali terlibat dalam skandal 1MDB pada 2016 semasa perbicaraan jenayah Singapura berhubung urus niaga dana pelaburan negara itu.
Antara lain, Amicorp dilaporkan berperanan dalam mewujudkan dana yang disalurkan keluar daripada 1MDB.
Tahun lalu semasa perbicaraan kes rasuah 1MDB Najib Razak, sejumlah RM45.8 juta yang bekas perdana menteri itu dituduh terima pada 2014 adalah disalurkan melalui akaun di Amicorp Bank di Barbados.