KLCC Property Holdings Berhad (KLCCP) menafikan laporan berita bahawa syarikat itu akan membeli Bandar Malaysia pada harga lebih RM10 bilion.
Dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia, hari ini, KLCCP memaklumkan bahawa syarikat itu bukan pihak dalam transaksi tersebut.
“KLCCP bukanlah pembeli seperti yang dilaporkan,” katanya.
The Edge, dalam salinan digital versi cetak pada Isnin, melaporkan bahawa KLCCP – sebuah subsidiari Petronas – sedang dalam perbincangan untuk memperoleh Bandar Malaysia.
Menurut sumber, nilai perjanjian itu dianggarkan sebanyak RM12 bilion, dengan KLCCP dijangka membayar RM6 bilion sebagai pendahuluan manakala baki akan dibayar "mengikut keperluan."
"Perjanjian ini akan membolehkan kerajaan memonetisasi asetnya dan pada masa yang sama melunaskan hutang Bandar Malaysia, yang kebanyakannya melibatkan dana kerajaan," menurut salah satu sumber.
Bandar Malaysia, yang dahulunya menempatkan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi, berhampiran Kuala Lumpur, kini dimiliki oleh TRX City Sdn Bhd, yang turut menguruskan projek Tun Razak Exchange.