Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar tak ada sebut 'pendakwaan cacat' dari 2018 hingga 2022
Diterbitkan:  Dec 22, 2024 5:42 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Seorang pembantu kepada Anwar Ibrahim cuba menepis kritikan bahawa perdana menteri itu tidak menyuarakan sebarang kebimbangan tentang pendakwaan terhadap ahli politik selepas pilihan raya umum 2018.

Ini selepas perdana menteri semalam berkata beberapa kes dalam tempoh tersebut dibuat secara tergesa-gesa, cacat dan bermotifkan dendam politik.

Dalam satu hantaran di media sosial malam tadi, setiausaha politik kepada perdana menteri, Kamil Munim berkata Anwar pada minggu pertama PH memenangi pilihan raya umum mengingatkan agar tidak membalas dendam terhadap Najib Razak, serta pendakwaan terhadapnya perlu mengikuti proses sewajarnya.

Namun, semakan Malaysiakini dari Mei 2018 hingga November 2022 mendapati bahawa selain daripada peringatan itu, Anwar tidak menyuarakan sebarang kebimbangan mengenai tuduhan yang dikenakan terhadap ahli politik ketika itu.

Tiada rekod menunjukkan presiden PKR itu mengulas mengenai kes rasuah melibatkan Ahmad Zahid Hamidi, Rosmah Mansor, dan ahli politik lain selain daripada Najib.

Malah, Anwar kelihatan menyokong pendakwaan terhadap Najib dan menyifatkannya sebagai contoh kuasa rakyat.

Pada 20 Mei 2018 - dua hari selepas kenyataan awalnya yang mengingatkan jangan berdendam kepada Najib - pemimpin PKR itu memberi jaminan bahawa siasatan terhadap bekas perdana menteri itu akan dijalankan dengan adil.

Pada 1 April 2019, Anwar menyokong cadangan agar perbicaraan Najib dibuat menerusi siaran langsung, dengan mengatakan rakyat berhak mengetahui sejauh mana wang telah "dirompak."

Pada 5 April 2019, dia berseloroh dalam satu acara kempen dengan mengataakn Najib mungkin akan menghuni sel penjaranya dahulu di Sungai Buloh.

Pada 29 April 2019, Anwar berkata bahawa mendakwa Najib bukan perkara mudah kerana PH "menegakkan kedaulatan undang-undang."

Pada Januari 2020, selepas SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan telefon membabitkan Najib, Anwar menggesa supaya proses undang-undang dihormati.

Namun, Anwar berkata sama ada maklumat yang didedahkan itu boleh membantu menegakkan keadilan juga perlu diambil kira.

Kemenangan besar rakyat Malaysia

Apabila Najib disabitkan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International pada 28 Julai 2020, Anwar - dalam kenyataan bersama - menyifatkannya sebagai "kemenangan besar untuk rakyat Malaysia."

"Proses pengadilan ini pasti tidak akan bermula sekiranya rakyat tidak bangkit untuk memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan dan mengalahkan Barisan Nasional pada PRU14," katanya dalam kenyataan bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Guan Eng.

Anwar mengulangi pendirian ini apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib dan bekas perdana menteri itu dihantar ke penjara pada 23 Ogos 2022.

Perdana menteri juga mengatakan kemenangan rakyat membolehkan pendakwaan dijalankan secara profesional dan badan kehakiman berani membuat keputusan bebas berdasarkan fakta.

Anwar juga dilihat tidak bersetuju pada masa itu dengan gesaan agar Najib diberi pengampunan diraja.

Malah, presiden PKR itu mengkritik siasatan SPRM terhadap hakim perbicaraan kes SRC, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, sebagai mencampuri urusan kehakiman.

Berubah selepas jadi PM

Pandangan Anwar mengenai kes terhadap ahli politik selepas PRU14, bagaimanapun dilihat berubah selepas dia menjadi perdana menteri.

Dalam satu perbincangan dengan Milken Institute di Singapura pada September 2023, perdana menteri berkata tuduhan terhadap Ahmad Zahid - yang merupakan timbalan perdana menteri - adalah meragukan dan tidak dijalankan secara profesional sambil menyatakan ia bermotifkan politik.

Dia mendakwa ini kerana tuduhan itu dibuat beberapa hari selepas Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mengugut Zahid untuk membubarkan Umno atau menghadapi pendakwaan.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa keputusan untuk menggugurkan kesemua 47 tuduhan terhadap Ahmad Zahid dibuat berdasarkan budi bicara sepenuhnya oleh peguam negara, Idrus Harun.

Semalam, perdana menteri membuat kenyataan bahawa beberapa kes pendakwaan selepas PRU14 adalah cacat.

“Anda juga perlu tahu pada masa itu, pendakwaan dilakukan dengan tergesa-gesa, (dengan) racun, permusuhan dan dendam politik oleh pihak yang berkuasa ketika itu, sehingga banyak pendakwaan ada kelemahan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika mengulas kritikan terhadapnya susulan pembebasan Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Hakim membenarkan permohonan Rosmah untuk membatalkan kes itu atas alasan tuduhan tersebut cacat dan gagal mendedahkan elemen penting kesalahan yang didakwa.

Anwar berkata dia mempunyai pandangan tersendiri mengenai kes Rosmah, tetapi tidak mendedahkannya.

Dia juga menegaskan bahawa pihak pendakwaan sedang merayu terhadap pembebasan Rosmah.

Rosmah - yang merupakan isteri Najib - sebelum ini disabitkan kesalahan dalam satu lagi kes rasuah melibatkan projek tenaga solar. Dia sedang merayu terhadap sabitan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS