G25 menyertai gesaan untuk menghentikan hukuman sebat di khalayak ramai yang dijadualkan terhadap Mohd Affendi Awang kerana khalwat di Terengganu.
NGO itu menggesa pendekatan yang lebih mempunyai belas ehsan dan berperikemanusiaan.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu menegaskan bahawa penghinaan awam adalah tidak selari dengan nilai Islam.
“Pesalah khalwat bukanlah penjenayah kerana pelanggaran mereka dalam tingkah laku peribadi tidak mengancam nyawa dan harta benda mahupun keamanan dan keselamatan negara," kata kumpulan itu.
Sebaliknya, kumpulan itu menggesa pihak berkuasa agama negeri supaya mengutamakan kaunseling dan bimbingan.
Kumpulan itu juga merayu kepada Kerajaan Persekutuan dan Majlis Raja-Raja supaya mengambil sikap progresif, dengan menggesa tPerdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan.
“Memandangkan penekanan Perdana kita terhadap pembaharuan, dia harus segera campur tangan dalam perkara ini dengan bersuara menentang hukuman sebat di khalayak ramai supaya tindakan boleh diambil sebelum terlambat,” tambahnya.
Pada 20 Nov lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap Affendi kerana ditangkap tiga kali berkhalwat dengan seorang wanita. Dia juga didenda RM4,000, jika gagal, dia akan menghadapi enam bulan penjara.
Hukuman yang pada mulanya dijadualkan pada 6 Dis, digantung sementara oleh kerajaan negeri.
Bagaimanapun, dilaporkan pada 15 Dis bahawa Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu mengekalkan hukuman itu. Ia kini akan dilaksanakan selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu, dengan disaksikan 70 individu terpilih pada 27 Dis.
Mengulas lanjut, G25 juga mengecam hukuman itu sebagai tidak konsisten dengan ajaran Islam, dengan menyatakan bahawa al-Quran tidak menetapkan hukuman sebat untuk khalwat dan bahawa aib awam itu melanggar prinsip belas kasihan dan maruah.
“Islam tidak seharusnya dijadikan agama yang kejam yang mengajar melalui penghinaan tetapi harus dilihat sebagai agama yang merangkumi belas kasihan dan maruah.
“Hakikat bahawa hukuman sebat diumumkan akan diadakan di masjid selepas solat Jumaat, pada asasnya melucutkan maruah dan hak privasi seseorang, adalah satu ketidakadilan dan penghinaan terhadap nilai belas kasihan dalam Islam,” jelasnya.
G25 seterusnya mengkritik keputusan melakukan hukuman sebat di masjid, menyebutnya sebagai penyalahgunaan ruang suci yang menjejaskan kesuciannya dan mencemarkan imej rumah ibadat itu.
“Sekiranya sebatan di khalayak ramai diteruskan, kita tidak boleh lagi menggelarkan diri kita sebagai negara Islam yang sederhana.
“Oleh itu, kami meminta orang ramai supaya tidak menghadiri hukuman sebat, sekiranya ia diteruskan. Marilah kita bertindak dengan rasa hormat serta menunjukkan, melalui tindakan kita, bahawa kita tidak menyokong bentuk hukuman yang kejam dan memalukan ini,” katanya lagi.