Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lepas PH menang Anwar ingatkan jangan balas dendam pada Najib'
Diterbitkan:  Dec 22, 2024 12:33 PM
Dikemaskini: 6:27 AM
1

Setiausaha Politik Perdana Menteri Muhammad Kamil Abdul Munim menafikan dakwaan Ketua Penerangan Parti Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali berhubung pendakwaan kes mahkamah melibatkan ahli politik pada 2018.

Ini selepas Rafique mempersoalkan mengapa Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak membangkitkan isu mengenai “pendakwaan tergesa-gesa” berkenaan.

"Tuduh Anwar diam ketika Dr Mahathir (Mohamad) rakus balas dendam kepada Najib (Razak) buktikan Rafique mudah lupa.

"Minggu pertama kemenangan PH, Anwar ingatkan untuk tidak balas dendam kepada Najib.

"Anwar juga ingatkan kerajaan ketika itu untuk turuti proses keadilan dan jalur hukum. Ini kenyataan dan teguran yang dibuat secara terbuka. Ia bukan hal yang baru," katanya dalam hantaran X, semalam.

Muhammad Kamil dipercayai merujuk kepada kenyataan Anwar pada Mei 2018, ketika berucap kepada kira-kira 500 penyokong yang menghadiri majlis berbuka puasa di rumahnya, di Segambut di Kuala Lumpur.

Anwar ketika itu menegaskan dia tidak mahu orang lain, termasuk Najib, melalui pengalamannya yang dituduh dan disabitkan kesalahan tanpa melalui proses sewajarnya di bawah undang-undang.

"Jadi saya nak sebut jangan kemenangan kita itu menghilangkan rasa syukur kepada Allah. Kalau kita syukur kita ikut perintah Allah.

"Ini kita syukur kepada Allah tapi kita cakap kita bantai dia (Najib), tangkap dia. Ini tak kena sebab itu namanya dendam," katanya.

Anwar berkata demikian sehari selepas polis melancarkan serbuan ke rumah Najib.

Rafique sebelum ini mengulas kenyataan Anwar yang baru-baru ini menyifatkan beberapa kes berprofil tinggi ketika itu "cacat" akibat pendakwaan yang “tergesa-gesa dan bermotifkan politik dendam”.

"Mengapa sekarang? Mengapa berdiam diri sejak 2018?" soal Rafique.

Bagaimanapun, Kamil mempertahankan Anwar dengan berkata dia kekal konsisten memperjuangkan prinsip keadilan dan kebebasan institusi kehakiman.

"Marah kita, benci kita jangan menyebabkan kita tinggal landasan hukum. Negara ini ada hukum dan kita berjuang untuk tegakkan negara hukum, bukan hukum rimba," katanya lagi.

Sebelum ini, Anwar menyifatkan beberapa pendakwaan berprofil tinggi pada 2018 dilakukan secara “tergesa-gesa” dan dicemari oleh “racun dan permusuhan.”

Anwar mengulas tentang pembebasan isteri Najib, Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram, sambil menegaskan dia tiada apa-apa penglibatan dalam keputusan mahkamah tersebut.

"Anda juga perlu tahu pada masa itu, pendakwaan dilakukan dengan tergesa-gesa, (dengan) racun, permusuhan dan dendam politik oleh pihak yang berkuasa ketika itu, sehingga banyak pendakwaan ada kelemahan," katanya.

Rosmah dibebaskan daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS