Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Johor buka tiga kertas siasatan kes resit hina Melayu, Islam

Polis membuka tiga kertas siasatan berkaitan gambar resit pesanan satu jenama makanan segera yang mengandungi kenyataan berbaur penghinaan terhadap bangsa Melayu dan agama Islam di tiga daerah iaitu Kluang, Muar dan Batu Pahat.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata siasatan kes itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata pihaknya telah mengesan penularan resit pesanan tax invoice jenama makanan segera bertarikh 19 dan 20 Dis lepas di tiga daerah terbabit dipercayai dipesan oleh individu sama.

"Laporan polis mengenai penularan tersebut telah diterima dan sebanyak tiga kertas siasatan berasingan telah dibuka. Kes masih di peringkat siasatan dan usaha mengesan serta menangkap suspek terlibat giat dijalankan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kumar berkata pihaknya memandang serius terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen agama dan menyentuh sensitiviti kaum di platform media sosial hingga membangkitkan perpecahan keamanan serta menggugat keharmonian masyarakat.

"Tindakan tegas tanpa kompromi di bawah peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa akan diambil terhadap mana-mana individu dengan sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.

Terdahulu, tular resit pesanan sebuah restoran jenama makanan segera di Kluang bertarikh 19 Dis lepas yang mengandungi kenyataan berbaur penghinaan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS