Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'ICAC kata tak ada kes' - Rahman Dahlan pertahan pelantikan Musa
Diterbitkan:  Dec 22, 2024 11:00 AM
Dikemaskini: 4:54 AM

Musa Aman dibebaskan daripada dakwaan rasuah, termasuk oleh Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong, yang tidak menemui sebarang kes terhadapnya, kata Abdul Rahman Dahlan, timbalan pengerusi Umno Sabah.

Dia menegaskan bahawa mahkamah Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan peguam negara juga telah melepaskan Musa daripada dakwaan itu.

Abdul Rahman membuat kenyataan itu hari ini, menangkis kritikan pihak tertentu yang mempersoalkan pelantikan Musa sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah yang baru.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu seterusnya menyatakan bahawa pembebasan oleh ketiga-tiga entiti itui menjadi asas utama bagi proses tapisan yang dijalankan oleh Istana Negara sebelum mengumumkan pelantikan Musa.

"Ini satu tuduhan yang agak berat kerana secara tidak langsung mereka mempertikaikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang telah melantik Musa sebagai TYT yang baru.

"Agong, perdana menteri dan ketua menteri Sabah sekarang ini langsung tidak terlibat dalam keputusan pembebasan Musa pada Jun 2020. Ketiga-tiga mereka belum pun memegang jawatan mereka pada waktu itu.

"Asas lain yang diambil kira sudah tentu khidmat Musa sebagai ketua menteri Sabah dan pencapaian pembangunan negeri Sabah yang memberangsangkan semasa pentadbirannya," kata Abdul Rahman.

Selasa lalu, Musa, bekas ketua menteri Sabah, secara rasmi dilantik sebagai TYT Sabah yang baru di Istana Negara. Dia akan memegang jawatan itu pada 1 Jan 2025, menggantikan Juhar Mahiruddin, yang penggalnya berakhir pada 31 Dis 2024. Penggal Musa akan berlangsung sehingga 31 Dis 2028.

Pelantikan itu telah mencetuskan kritikan, dengan ramai yang mengimbas kembali kontroversi masa lalu yang menyelubungi Musa. Pengkritik juga menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Harapan berkompromi dengan pendirian reformis mereka.

Musa Aman

Semalam, Anwar menjelaskan bahawa dia telah menasihati Agong mengenai nama lain untuk dipertimbangkan bagi jawatan TYT Sabah.

Di bawah Perkara 1 Perlembagaan Sabah, TYT dilantik mengikut budi bicara Agong, tetapi hanya selepas berunding dengan ketua menteri negeri.

Abdul Rahman juga menyatakan bahawa jika ada pihak yang mempersoalkan pelantikan Musa dan mendakwa ada pihak mempengaruhi keputusan mahkamah, SPRM, dan Peguam Negara, mereka harus merujuk kepada penemuan ICAC.

Dia menambah bahawa tiada siapa yang berani mendakwa bahawa ICAC dipengaruhi oleh "tangan ghaib," kerana kredibiliti ICAC disegani di peringkat antarabangsa.

Musa pada mulanya didakwa semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri di bawah kerajaan PH pada 2018. Bagaimanapun, pembebasannya dibuat selepas Muhyiddin Yassin mengambil alih kuasa pada 2020.

Kertas pertuduhan terhadap Musa berhubung dakwaan sogokan memperincikan rangkaian individu dan proksi. Nama Michael Chia Tien Foh terdapat dalam 16 dokumen ini.

Pada 2006, Chia didakwa memindahkan AS$20,329,828.16 kepada peguam Richard Christopher Barnes. Dia juga dituduh menerima AS$7,632,397.87 dalam 13 bahagian antara 2004 dan 2007 sebagai sogokan daripada kontrak pembalakan yang dimaksudkan untuk Musa.

Pada 2009, ICAC mendakwa Chia dengan pengubahan wang haram selepas dia ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong membawa RM40 juta dalam mata wang Singapura.

Ketika Musa pertama kali didakwa, peguam Musa berhujah di mahkamah bahawa ICAC telah, pada Disember 2011, secara rasmi memaklumkan Musa bahawa mereka telah menyelesaikan siasatan mereka dan telah mengklasifikasikan kes itu sebagai "tiada tindakan lanjut."

Pada 2009, Ketua Pemuda PKR ketika itu Shamsul Iskandar Mohd Akin pergi ke Hong Kong dan membuat laporan kepada ICAC berhubung kes dakwaan pengubahan wang haram melibatkan beberapa pemimpin dari Sabah, termasuk Musa Aman.

Pada Okt 2012, menteri undang-undang ketika itu Nazri Abdul Aziz telah memberitahu Parlimen bahawa SPRM telah membersihkan Musa daripada rasuah kerana dana RM40 juta itu adalah pembiayaan politik untuk Umno Sabah dan bukan untuk kegunaan peribadi.

Kemudian, Nazri juga menjelaskan lebih lanjut bahawa ICAC juga telah menemui "tiada unsur rasuah" dan oleh itu SPRM juga memutuskan untuk tidak meneruskan perkara itu.

Bagaimanapun, pengarah strategi PKR Rafizi Ramli ketika itu tidak yakin. Pada Disember 2012, Rafizi dan pasukannya pergi ke ICAC untuk mengemukakan dakwaan "bukti".

Dia diiringi oleh bendahari parti ketika itu dan Ahli Parlimen Selayang William Leong, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan ketika itu Hee Loy Sian dan Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS