Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri jawab isu peletakan jawatan doktor
Diterbitkan:  Dec 22, 2024 9:58 AM
Dikemaskini: 1:58 AM

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menepis tanggapan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 'sekadar menutup mata' terhadap peletakan jawatan lebih 6,000 doktor dalam tempoh lima tahun.

Dalam catatan di X, Dzulkefly menjelaskan bahawa lebih separuh daripada peletakan jawatan ini melibatkan peralihan doktor daripada kontrak kepada jawatan tetap dalam kementerian.

“Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa angka ini termasuk 3,200 pegawai perubatan kontrak (MO) yang meletak jawatan untuk beralih ke jawatan tetap sebagai sebahagian daripada prosedur yang ditetapkan.

"Selain itu, beberapa doktor telah berpindah ke bidang akademik, boleh dikatakan masih menyumbang kepada pengukuhan sektor kesihatan awam," katanya dalam hantaran semalam.

Kenyataan menteri itu dibuat sebagai menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh pakar nefrologi Dr Rafidah Abdullah, yang mempersoalkan strategi kementerian untuk menangani isu itu.

Dalam hantaran di X pada 19 Dis, Dr Rafidah menyifatkan situasi di lapangan sebagai mengerikan dan dia menekankan keperluan untuk menangani isu yang berlarutan sekian lama.

Mengakui kekurangan profesional perubatan dan cabaran yang dihadapi oleh pekerja penjagaan kesihatan yang terbeban, Dzulkefly mengakui kementerian tidak dapat menghalang semua pegawai perubatan dan pakar daripada berhijrah ke sektor swasta.

Bagaimanapun, dia menggariskan beberapa strategi yang bertujuan untuk mengekalkan bakat dalam sektor perubatan awam negara.

Menteri itu menekankan langkah jangka pendek seperti pelarasan gaji, jadual kerja yang fleksibel, dan membenarkan amalan lokum untuk meningkatkan keseimbangan kehidupan kerja profesional penjagaan kesihatan.

“Bagi jangka masa yang sederhana, inisiatif 'Rakan KKM Partnership' kami adalah untuk mengurangkan kadar kehilangan tenaga profesional penjagaan kesihatan melalui imbuhan yang diharapkan lebih baik, selain menambah baik kemudahan awam melalui subsidi silang daripada sumber baru hasil daripada 'kemudahan ekonomi premium' Rakan KKM,” kongsinya.

Tambahnya, kementerian bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Anda sangat maklum bahawa beberapa perkara berada di luar bidang kuasa KKM, sebab itu kami memohon penglibatan JPA untuk memastikan isu-isu ini diselesaikan dengan berkesan dan baik,” tambahnya.

Dzulkefly juga menyatakan bahawa Hospital Seri Manjung di Perak akan menerima kakitangan tambahan tidak lama lagi berikutan laporan media baru-baru ini.

“Saya sedar isu ini tidak terhad kepada Hospital Seri Manjung tetapi merupakan masalah di seluruh negara. Kementerian akan berusaha sedaya upaya untuk menangani kebimbangan yang mendesak ini,” katanya.

Jumaat lalu, portal berita kesihatan CodeBlue melaporkan bahawa kementerian telah menafikan dakwaan hospital itu mengalami kekurangan kakitangan yang teruk.

Mengulangi komitmennya terhadap pembaharuan sistemik, Dzulkefly menekankan kepentingan untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan, satu inisiatif utama yang sejajar dengan Kertas Putih Kesihatan.

“Ia adalah satu pembaharuan yang kami ikrarkan untuk lakukan sejak zaman awal ‘Reformasi’. Anda pasti memahami cabaran yang perlu kami hadapi.

“Inisiatif ini akan menunjukkan komitmen jangka panjang untuk menangani dan menyelesaikan isu sistemik dalam sektor penjagaan kesihatan.

"Saya mesti mengatakan bahawa untuk mencapai tugas yang berat dan besar ini, kita memerlukan bantuan semua pihak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS