Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno Sabah gesa gugur semua 'tuduhan politik' lepas PRU14
Diterbitkan:  Dec 22, 2024 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Ketua Pemuda Umno Sabah Sufian Abdul Karim menuntut semua tuduhan terhadap ahli politik yang dikenakan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) digugurkan.

Permintaan ini dibuat susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam yang menyatakan beberapa tuduhan yang dikenakan ketika itu bersifat tergesa-gesa, dendam politik dan "banyak pendakwaan ada kelemahan."

Sufian berkata perkara ini jelas menunjukkan terdapat kelemahan dalam sistem keadilan yang perlu diperbaiki.

"Siri pendakwaan ini telah membazirkan sumber kerajaan, termasuk masa, kewangan, dan tenaga kerja, hanya demi memenuhi misi politik yang berniat jahat,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.

Tuduhan terhadap Bung Moktar

"Dengan penarikan balik pendakwaan-pendakwaan ini, Malaysia dapat memperbaiki imej keadilannya di peringkat antarabangsa.

“Langkah ini akan menunjukkan komitmen kerajaan terhadap prinsip keadilan yang sebenar tanpa dipengaruhi oleh permainan politik sempit,” kata Sufian lagi.

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin, yang juga bos Sufian antara yang diseret ke mahkamah di bawah pentadbiran pertama PH.

Bung dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad, menghadapi pertuduhan rasuah melibatkan RM2.8 juta.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membebaskan pasangan itu pada tahun lalu namun Mahkamah Rayuan mengembalikan semula kes berkenaan

Kenyataan Anwar mengenai pendakwaan yang ada kelemahan itu sebagai maklum balas terhadap kritikan berhubung pembebasan Rosmah Mansor dalam kes pengubahan wang haram.

Hakim membenarkan permohonan Rosmah untuk membatalkan kes tersebut atas alasan tuduhan itu cacat dan gagal mendedahkan elemen penting dalam kesalahan yang didakwa.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan dia tidak campur tangan keputusan mahkamah.

Katanya, pihak pendakwaan juga tidak setuju dengan keputusan itu dan akan memfailkan rayuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS