Sebuah video yang dikaitkan dengan pemberian tanah kebun durian di Pahang kepada pesara tentera adalah tidak benar, sebaliknya ia penyerahan hak milik Skim Tanah Rakyat (STR) kepada penduduk Temerloh.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata kandungan video itu, merupakan majlis penyerahan geran kepada lebih 600 peserta STR yang telah dimuat naik di media sosial sebelum ini.
Beliau yang hadir pada majlis berkenaan bagi mewakili Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata penyerahan itu dibuat, setelah kerajaan negeri menerima permohonan STR daripada penduduk daerah tersebut.
“Justeru, apa yang didakwa individu terbabit mungkin dia salah faham atau tidak tahu cerita sebenar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Pengarah Tanah dan Galian Pahang Datuk Hamdan Hussin memaklumkan video berkenaan melibatkan penyerahan hak milik STR bagi daerah Temerloh pada 1 Dis.
Beliau berkata majlis yang disempurnakan oleh Syed Ibrahim itu melibatkan penyerahan STR bagi penduduk Kampung Sokmek, Kampung Kuala Kaung, Kampung Sungai Juru, Kampung Sungai Jenalik, Kampung Sungai Jentar, Kampung Pangsenam dan Kampung Bintang.
Terdahulu tular satu video berdurasi hampir dua minit dengan hantaran mendakwa kerajaan Pahang telah memberikan tanah kebun durian yang diusahakan oleh pekebun sebelum ini kepada pesara tentera seluas dua ekar seorang.
- Bernama