Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan menumpukan tindakan terhadap mana-mana perusahaan, tanpa mengira besar atau kecil, yang menunjukkan perilaku atau elemen kartel, selain tindakan tegas terhadap persatuan yang menggalakkan perbuatan itu.
Pengerusinya Tan Sri Idrus Harun menegaskan MyCC tidak gentar atau pilih kasih dan kekal komited dalam melaksanakan tindakan itu bagi melindungi kepentingan pengguna serta memastikan wujud persaingan sihat dalam pasaran.
"MyCC kesal dengan tindakan terkini beberapa persatuan yang mengumuman kenaikan harga atau menetapkan harga minimum perkhidmatan atau barangan termasuk mengenakan syarat perdagangan baharu yang didapati memberi kesan negatif secara langsung kepada kos sara hidup rakyat.
"Perkara ini membimbangkan kerana ia melibatkan sektor penting antaranya pengangkutan, perkhidmatan jagaan, kesihatan dan makanan yang merupakan keperluan asas rakyat," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Idrus berkata MyCC juga memandang serius perilaku persatuan yang galak membuat pengumuman berkaitan perkara itu, terutamanya melalui media tanpa memikirkan impak yang menambah cabaran kelangsungan hidup rakyat.
Maklumat yang diperoleh, menurut beliau menunjukkan terdapat persatuan, melalui ketuanya cuba mengaburi mata rakyat dengan menyatakan pengumuman kenaikan itu hanya jangkaan kenaikan untuk masa hadapan atau harga panduan, sedangkan ia sebenarnya hasil keputusan persatuan yang berbaur kartel.
"MyCC tidak terkejut jika ada persatuan yang membuat keputusan secara rahsia dengan harapan tindakan mereka tidak dapat dikesan kerana mereka sedar perkara tersebut melanggar perundangan persaingan," katanya.
Idrus berkata pengumuman sedemikian boleh dikategorikan sebagai suatu perjanjian antipersaingan atau kartel kerana ia mencerminkan suatu keputusan ahli jawatankuasa persatuan yang pada masa sama merupakan pesaing dalam industri.
Tindakan membuat pengumuman itu juga boleh dikategorikan sebagai isyarat daripada persatuan kepada ahli-ahlinya dalam menyebar luas keputusan yang telah ditetapkan dengan tujuan memastikan ahli tersebut menjayakan kelakuan kartel secara bersepadu.
Idrus berkata perusahaan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan bersekongkol menaikkan harga atau menetapkan harga minimum atau mengenakan syarat perdagangan baharu yang akan menaikkan harga, dalam usaha mencari penyelesaian kepada peningkatan kos perniagaan.
"Keputusan sedemikian sepatutnya dilakukan secara bebas dan tanpa arahan atau keputusan persatuan. Mereka tidak boleh berselindung di sebalik jawatan persatuan atau keahlian dalam persatuan. Jawatan atau keahlian bukan lesen untuk menghalalkan perlakuan kartel masing-masing," katanya.
Idrus berkata kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC akan diperkasakan lagi menerusi pindaan Akta Persaingan 2010 yang dijadual dibentangkan awal tahun depan, bagi memastikan perilaku sabotaj ekonomi seperti itu dapat ditangani dengan lebih efektif menerusi penalti lebih berat.
MyCC mengalu-alukan kerjasama semua termasuk ahli jawatankuasa atau ahli persatuan yang tidak bersetuju dengan tindakan mengamalkan perlakuan kartel yang boleh dibuat secara terus ke pejabat MyCC atau menerusi https://www.mycc.gov.my/bm/membuat-aduan atau [email protected] dengan jaminan kerahsiaan pengadu dan pemberi maklumat.
- Bernama