Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PKR gesa k'jaan teliti caj hospital swasta tak munasabah
Diterbitkan:  Dec 21, 2024 5:33 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Beberapa ahli parlimen PKR menggesa kerajaan mengambil langkah serius meneliti caj perubatan di hospital swasta yang didakwa berbeza sehingga empat kali ganda antara pesakit pemegang insurans dan mereka yang membayar secara tunai.

Dalam kenyataan bersama, mereka mendedahkan situasi ini selepas taklimat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada ahli-ahli parlimen.

“Contohnya, pesakit denggi yang menggunakan Guarantee Letter (GL) akan membayar RM4,978 manakala pesakit pay and claim hanya membayar RM1,288, dengan perbezaan sehingga empat kali ganda,” kata kumpulan terbabit.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Pua, Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Taufiq Johari, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Mun, Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran serta Senator Bob Manolan.

Langkah interim BNM

Semalam, BNM mengumumkan empat langkah interim yang dipersetujui industri insurans dan takaful bagi membantu pemegang polisi yang berdepan kenaikan premium produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).

Antaranya, semua syarikat insurans dan takaful yang menawarkan produk MHIT diminta melaksanakan pelarasan premium secara berperingkat sekurang-kurangnya tiga tahun hingga akhir 2026.

Langkah itu bertujuan mengurangkan beban pemegang polisi akibat kenaikan premium.

Kumpulan wakil rakyat PKR itu turut mendedahkan perbezaan ketara caj hospital bagi rawatan tertentu:

  • Pneumonia: Pesakit dengan GL membayar RM6,859, manakala pesakit pay and claim hanya RM2,654.

  • Katarak: Pesakit dengan insurans membayar RM6,000, sementara yang tidak berinsurans hanya RM3,000.

Mereka juga menerima pelbagai aduan mengenai caj hospital swasta yang tidak telus serta melibatkan caj bekalan dan perkhidmatan (HSS) sehingga 70 peratus daripada jumlah bil perubatan.

Menurut mereka, komponen HSS meliputi barangan seperti makmal, pengimejan, ubat-ubatan, kejururawatan, peralatan perubatan, dan barangan lain, yang kebanyakannya tidak dikawal selia oleh kerajaan.

Perlu reformasi sistem

“Kami berpandangan, ada keperluan mendesak untuk meneliti isu caj hospital swasta yang tinggi ini,” kata mereka.

Ahli Parlimen PKR turut menyeru rakyat menyokong perjuangan mewujudkan ekosistem perubatan swasta yang mampan, mampu dibiayai, dan adil kepada semua pihak.

“Ekosistem hospital swasta yang mampan boleh menyelamatkan hospital awam daripada kesesakan dan meringankan beban pembiayaan kerajaan, sekali gus memberi peluang kepada golongan B40 mendapatkan rawatan lebih baik di hospital kerajaan,” tambah mereka.

Orang ramai yang mengalami caj hospital swasta tidak munasabah boleh membuat aduan ke alamat email: [email protected]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS