Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Indonesia tahan 18 pegawai peras ugut rakyat Malaysia
Diterbitkan:  Dec 21, 2024 4:57 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Polis Indonesia menahan 18 pegawai yang disyaki terlibat dalam kes pemerasan terhadap warga Malaysia yang menghadiri festival muzik Djakarta Warehouse Project (DWP) pada 13 Disember lalu.

Pegawai yang ditahan itu dari pelbagai unit termasuk Polda Metro Jaya, Polres Metro Jakarta Pusat, dan Polsek Metro Kemayoran dan kini sedang disiasat, menurut agensi berita Indonesia, Antara.

"Bahagian Propam (Profesi dan Pengamanan Kepolisian Republik Indonesia) telah menahan 18 pegawai yang disyaki bertugas semasa kejadian.

“Kesemua mereka akan disiasat lanjut untuk memastikan sebarang pelanggaran ditangani," kata Brigedier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andiko, Ketua Biro Maklumat Awam Polis Nasional Indonesia.

Kes ini terbongkar selepas seorang pengguna media sosial di X, @Twt_Rave, mendakwa lebih 400 peserta dari Malaysia menjadi mangsa penahanan sewenang-wenangnya dan ujian air kencing secara paksa.

Pengguna itu mendakwa pegawai polis meminta sejumlah wang termasuk daripada mereka yang didapati negatif dadah.

"Didakwa bahawa pegawai polis telah memeras penonton dari Malaysia sehingga berjumlah 9 juta Ringgit (kira-kira Rp32 bilion)," kata pengguna tersebut.

Polis Nasional Indonesia berjanji menjalankan siasatan secara telus terhadap dakwaan itu bagi mengekalkan kepercayaan awam dan memastikan akauntabiliti dalam pasukan polis.

"Polis Nasional tidak akan bertoleransi terhadap sebarang pelanggaran yang dilakukan oleh anggotanya.

"Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang salah laku, tanpa mengira pangkat atau jawatan," tegas Brigedier Jeneral Trunoyudo.

Insiden ini telah mencetuskan kemarahan awam, terutamanya dalam kalangan rakyat Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS