Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes rogol bawah umur dilapor berlaku di PPS Kelantan
Diterbitkan:  Dec 21, 2024 4:22 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Satu kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur dilaporkan berlaku di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, semasa banjir pada 2 Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata kejadian berlaku sekitar jam 12.30 pagi itu membabitkan seorang gadis berusia 15 tahun dan seorang pekerja binaan berusia 23 tahun.

Menurut Mohd Yusoff mangsa dan suspek dikatakan baru berkenalan di PPS terbabit dan dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah stor sekolah yang dijadikan pusat pemindahan tersebut.

“Perlakuan mereka diketahui abang gadis berkenaan sebelum keluarganya bertindak membuat laporan polis,” katanya dipetik Sinar Harian.

Suspek dilaporkan telah ditahan pada 6 Dis dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

Dia kemudiannya didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, namun mengaku tidak bersalah.

Mahkamah menetapkan kes untuk sebutan semula pada 14 Januari ini dan tidak ada jaminan ditawarkan.

Selain kes rogol, Mohd Yusoff memaklumkan enam lagi jenayah dilaporkan semasa banjir, termasuk pecah rumah, curi kenderaan dan mencabul.

“Tiga kes pecah rumah, satu curi kenderaan dan satu kes cabul berlaku di Tumpat. Satu lagi kejadian pecah rumah dilaporkan di Pasir Mas,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS