Polis sedang menyiasat pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong bola sepak di stesen LRT Bandar Tasik Selatan tengah malam tadi yang menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan tren dan kerosakan harta benda awam.
Insiden itu berlaku selepas pasukan negara gagal mara ke peringkat seterusnya dalam saingan kumpulan Piala Asean selepas seri tanpa jaringan 0-0 dengan Singapura dalam perlawanan akhir Kumpulan A di Stadium Bukit Jalil.
Ketua Polis Daerah Cheras, Aidil Bolhassan, berkata, insiden itu berlaku ketika tren dari Stesen Bukit Jalil menghala ke Sentul Timur dan tiba di platform Stesen Bandar Tasik Selatan.
"Terdapat satu kumpulan penyokong bola sepak telah keluar daripada tren dan berlakunya pertengkaran di antara penyokong kumpulan lain menyebabkan pergaduhan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya penyokong bola sepak yang dianggarkan seramai 20-30 orang bertindak agresif dengan bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah dan penghadang pintu lif ke arah tren serta menendang pintu tren.
Tambahnya, perbuatan ini mengakibatkan kerosakan di bahagian pintu cermin tren dan menyebabkan pengangkutan awam itu terhenti lebih kurang lapan minit.
Menurutnya, polis bantuan bersama anggota bertugas kemudian mengiring penyokong tersebut keluar dari Stesen Bandar Tasik Selatan dengan selamat.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli meminta peminat bola sepak supaya menjaga adab dan semangat kesukanan.
“Kami masih belum menerima laporan penuh mengenai insiden tersebut, sama ada ia berkaitan atau disebabkan oleh perlawanan malam tadi,” kata Adam.
Menurut Adam, pihaknya berharap penyokong bola sepak mengekalkan semangat Ekor Harimau Malaya, yang dikenali sebagai penyokong terbaik di rantau ini.
“Kementerian mempunyai dasar yang jelas untuk tidak membenarkan sebarang tingkah laku yang melulu atau, sehingga ke tahap tertentu, berunsur keganasan dalam sukan —sama ada dalam kalangan atlet mahupun penyokong.
"Walaupun kami memahami bahawa peminat kadangkala menjadi emosional dan kami menghargai semangat mereka, ini bukan alasan untuk sebarang tindakan yang boleh dianggap keterlaluan," katanya.