Mahkamah Perancis menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap bekas suami Gisele Pelicot kerana merogol dan mengatur rogol secara besar-besaran terhadap isterinya yang menggemparkan negara itu.
Menurut BBC News, Dominique Pelicot, 72, didapati bersalah terhadap semua pertuduhan oleh hakim di Avignon, selatan Perancis dan menangis ketika mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum.
Pada November 2020, Dominique mengaku memberi dadah kepada isterinya selama hampir sedekad dan merekrut berpuluh-puluh lelaki dalam talian untuk merogol wanita itu di rumah mereka ketika dia tidak sedarkan diri.
Polis menjejaki tertuduh melalui beribu-ribu video yang ditemui pada komputer riba Dominique dan pasukan penyiasat mempunyai bukti kira-kira 200 insiden rogol yang dilakukan antara 2011 dan 2020 terhadap Gisele.
Dominique dibicarakan bersama 50 defendan lain, yang kesemuanya disabitkan bersalah oleh mahkamah dengan tiada seorang pun dibebaskan.
Sabitan itu menamatkan perbicaraan kes rogol terbesar dalam sejarah Perancis, yang berlangsung selama tiga bulan dan mengejutkan negara serta dunia.
Gisele Pelicot dan anak-anaknya yang hadir ke mahkamah juga kelihatan tenang ketika penghakiman dibacakan dan sekali-sekala memandang ke arah defendan.
Sabitan itu menamatkan perbicaraan rogol terbesar di Perancis, yang menggemparkan negara dan dunia dengan mengambil masa tiga bulan.
Pada pagi Khamis, polis menutup jalan bertentangan dengan mahkamah untuk menempatkan ratusan orang yang hadir untuk memberikan sokongan mereka kepada Gisele.
Sepanduk besar tertera ucapan "Terima kasih Gisele" juga dibentangkan di dinding pintu masuk mahkamah.
Beberapa orang awam turut melaungkan "perogol, kami jumpa awak" ketika defendan masuk bilik perbicaraan.
Bercakap di luar mahkamah sebaik saja keputusan diputuskan, Gisele dilapor berkata ia "perbicaraan yang sangat sukar".