Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan terhadap pengkritik raja di luar kuasa saya - PM

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan hak rakyat untuk mengkritik dirinya dan kerajaan, namun menegaskan bahawa kes-kes yang dibawa oleh Majlis Raja-Raja adalah di luar bidang kuasanya.

Bercakap kepada pengarang dan wartawan di Subang Jaya hari ini, Anwar menjelaskan bahawa Majlis Raja-Raja membantah kritikan terhadap institusi diraja tetapi tidak bertindak balas secara terbuka terhadap kes-kes sedemikian.

"Tapi kalau sekarang kes terlibat raja-raja, it's beyond me. Mana majlis raja-raja kata tak setuju, raja-raja disepak terajang macam tu, kerana dia tak jawab dan dia bukan dalam permainan politik dan kena ingat juga kadang hasutan itu menyentuh perasan agama yang kuat," katanya.

Anwar juga membangkitkan kebimbangan mengenai tindakan terhadap artis grafik dan aktivis Fahmi Reza.

“Saya tidak rasa dia patut didakwa atau ditangkap,” kata Anwar secara ringkas.

Fahmi sedang disiasat di bawah beberapa undang-undang, termasuk Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) dan Kanun Keseksaan, berhubung grafik yang melabel Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru, Musa Aman, sebagai  “koruptor nombor satu” negeri itu.

Siasatan dimulakan selepas laporan dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Berhubung penggunaan Seksyen 233 CMA yang lebih meluas, Anwar mengakui keperluannya dalam menangani isu seperti pornografi dan buli siber.

Dia membangkitkan kes tragis melibatkan pempengaruh TikTok A Rajeswary, yang lebih dikenali sebagai Esha, sebagai contoh.

Pada Julai lalu, Esha didakwa meninggal dunia akibat membunuh diri selepas mengalami buli siber selama beberapa minggu secara berterusan.

Kematiannya mengundang perhatian meluas di media sosial, membangkitkan keperluan segera untuk menangani gangguan dalam talian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS