Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan Musa Aman: Saya dah nasihati Agong, kata Anwar

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata dia telah menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai beberapa nama lain untuk dipertimbangkan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru.

Anwar berkata demikian bagi mengulas kritikan terhadap komitmennya dalam memerangi rasuah susulan pelantikan Musa Aman bagi jawatan itu.

“Satu setengah tahun telah berlalu. Ketua menteri tiba-tiba mencadangkan satu nama.

“Saya tanya dia, ada nama lain tak? Sudah tentu ada, dua atau tiga nama.

“Bila surat sampai, surat itu hanya ada satu nama.

“Tapi, bolehkah saya menasihati Agong, ‘Bolehkah kita pertimbangkan nama lain?’ Dengan kelulusan negeri? Sudah tentu boleh.

“Adakah saya buat begitu? Saya buat,” katanya kepada pengarang dan pemberita di Subang Jaya hari ini.

Di bawah Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, Yang di-Pertua Negeri dilantik atas budi bicara Agong tetapi selepas berunding dengan ketua menteri.

Pelantikan Musa

Pada Selasa lalu, Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah secara rasmi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru.

Dia akan memegang jawatan tersebut bermula 1 Januari 2025, menggantikan Juhar Mahiruddin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember 2024. 

Tempoh perkhidmatan Musa akan berakhir pada 31 Disember 2028.

Pelantikan itu mencetuskan kritikan, dengan sejumlah pihak membangkitkan semula kontroversi yang melibatkan Musa sebelum ini. 

Ada juga yang menyifatkan Anwar dan pemimpin PH sebagai menggadaikan pendirian reformasi mereka susulan pelantikan itu.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil mempertahankan Anwar dengan menegaskan pelantikan tersebut dibuat atas budi bicara Agong atas nasihat daripada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS