Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk melakukan lebih banyak usaha bagi membuktikan komitmen kerajaan terhadap reformasi.
Zaid merujuk ucapan Anwar semasa majlis palancaran memoir tokoh veteran DAP Lim Kit Siang bertajuk Malaysian First di Ipoh, Perak semalam.
“Dalam majlis meraikan pelancaran buku seorang lagi tokoh reformasi hebat, anda memberikan contoh tentang tender.
“Anda kata tiada menteri boleh mempengaruhi proses tersebut. (Namun) bagaimana pula dengan penjawat awam tinggi? Adakah mereka boleh membuat keputusan bagi pihak orang lain?” soal Zaid di X.
Zaid turut mencadangkan Anwar agar menyemak semula Akta Rahsia Rasmi dan menghentikan pendakwaan berkaitan isu 3R (kaum, agama dan raja).
“Ibu kepada masalah rasuah dan salah guna kuasa tidak akan dapat ditangani sehingga kita ada kerajaan yang telus. Kerajaan yang benar-benar telus.
“Satu lagi ialah jangan dakwa sesiapa yang bercakap atau menulis mengenai 3R. Adakah anda dan Lim bersedia menyahut cabaran ini?” soal Zaid, yang pernah menganggotai DAP sebelum ini.
Usaha reformasi
Malam tadi, Anwar menyuarakan penghargaan kepada Lim atas persahabatan mereka selama berdekad, sama ada dalam mahupun luar dunia politik, serta komitmen Lim terhadap visi untuk Malaysia yang lebih baik.
“Sejak menerajui negara dua tahun lalu, kerajaan ini terus menegakkan perjuangan yang sama, memastikan Malaysia dimartabatkan sebagai negara besar dan bersatu, memperjuangkan hak setiap rakyat tanpa mengabaikan identiti asas negara - bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, institusi raja-raja Melayu, serta hak orang Melayu dan bumiputera,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook.
“Sejak mengemudi negara dua tahun lalu, kerajaan ini masih mendukung perjuangan sama yakni memastikan Malaysia diangkat sebagai negara hebat, bersatu serta menjuarai hak setiap rakyat, tanpa meminggirkan identiti asas negara — bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu serta hak Melayu dan Bumiputera,” kata Anwar.
“Saya mendengar desakan-desakan untuk menyegerakan reformasi yang kita dambakan, namun sejarah mengajar kita untuk pintar dan cermat dalam membawa perubahan tanpa mengorbankan kestabilan negara.
“Namun ada juga suara memualkan daripada segelintir yang kononnya mendakwa kerajaan “gagal” melaksanakan agenda reformasi dalam tempoh dua tahun ini, sedangkan mereka jugalah yang sebelum ini sanggup mencium kaki penyakau dan perasuah,” katanya lagi.
Mutakhir ini, komitmen kerajaan untuk melaksanakan reformasi dipersoalkan, terutama berhubung aspek antirasuah dan kebebasan bersuara.