Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Satira bukan jenayah' - Fahmi Reza parodi Fahmi Fadzil
Diterbitkan:  Dec 21, 2024 9:31 AM
Dikemaskini: 1:31 AM

Setelah sekali lagi disiasat kerana poster grafiknya, aktivis Fahmi Reza kini memparodikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dia menukar nama akaunnya di X daripada nama sendiri kepada “Fahmi Fadzil”.

Dia juga memuat naik tangkap layar semalam berhubung hantaran media sosial oleh menteri itu pada 19 November 2016.

Tangkap layar itu merupakan gambar Fahmi Reza, Fahmi Fadzil, peguam Syahredzan Johan dan seorang lagi yang memakai topeng – dipercayai ketika protes Bersih 5 pada masa itu – bersama plakad yang memaparkan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak sebagai badut.

Kapsyen yang ditulis oleh Fahmi Fadzil pada gambar itu berbunyi:

“Solidariti buat saudara Fahmi Reza yang baru ditangkap tadi di KLCC selepas tamat Bersih 5. Nampaknya sang pemerintah masih gerun dengan grafik Fahmi!”

‘McDani’

Fahmi Reza kemudian didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas karikatur Najib tersebut.

Syahredzan yang kini ahli Parlimen Bangi menjadi peguam Fahmi Reza dalam kes itu.

Nama akaun Fahmi Reza di platform media sosial lain kekal sama, tetapi ia juga memaparkan tangkap layar hantaran Fahmi Fadzil dari 2016 tersebut.

Fahmi Reza juga menukar gambar profil akaun media sosialnya kepada logo yang menyerupai logo SKMM berbentuk segi tiga, namun dengan tambahan imej mata yang serupa seperti lambang PKR. Di bawah segi tiga itu tertulis “MCDANI”.

Kedua-dua Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Fahmi Fadzil adalah dari PKR, dengan Anwar sebagai presiden dan Fahmi sebagai ketua penerangan. “McDani” dipercayai parodi kepada istilah “Madani” yang menjadi slogan pentadbiran Anwar.

‘Jangan kongsi’

Menerusi akaunnya, Fahmi Reza juga berkongsi “amaran” yang menggesa orang ramai supaya tidak berkongsi karikaturnya berkenaan Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru dilantik, Musa Aman.

Poster tersebut memaparkan logo “McDani” dan dengan jelas memaparkan karikatur Musa.

“Orang ramai terutamanya warga Sabah diberi amaran supaya berhenti menyebarkan karikatur satira seperti gambar di atas yang dipercayai dimuat naik untuk memperlekeh pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru.

“Penyebaran karikatur ini mengundang sensitif berkait isu 3R (raja, kaum, agama) yang boleh mengganggu keselamatan dan keharmonian negara,” kata poster itu.

Poster itu juga menyatakan penyebaran gambar sedemikian melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Sakit Hati (Pindaan) 2024.

Akta Sakit Hati adalah nama sindiran terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia, terutama Seksyen 233 yang menyentuh penyalahgunaan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian untuk menyampaikan komunikasi yang dianggap “lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain”.

Sebelum ini, banyak pihak berpandangan peruntukan itu terlalu luas dengan takrifan yang kabur, dan sering digunakan ke atas mereka yang menyuarakan kritikan terhadap kerajaan.

Siasatan

Fahmi Reza kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia  dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan berhubung poster grafiknya berkenaan Musa.

Pada Selasa lalu, Musa dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan. Dia mempunyai sejarah pendakwaan rasuah, meskipun akhirnya dibebaskan setelah tuduhan terhadapnya ditarik balik.

Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia pada 9 Disember, diikuti oleh Dewan Negara pada 16 Disember.

Ini termasuk perubahan dalam Seksyen 233 yang menurut Fahmi Fadzil akan memastikan parodi dan sindiran tidak menjadi jenayah, melainkan melampaui batas.

Bagaimanapun, pindaan itu belum mendapat perkenan diraja untuk diwartakan sebagai undang-undang.

Justeru, Syahredzan semalam menggesa moratorium dikenakan terhadap siasatan dan pendakwaan di bawah Seksyen 233 bagi karya sindiran dan parodi sehingga pindaan itu berkuat kuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS