Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KOMENTAR | Madani gagal? Saya tak lupa perjuangan reformasi - Anwar

KOMENTAR | Sebelum pulang ke Putrajaya, saya ke Ipoh untuk meluncurkan memoir teman seperjuangan, Tan Sri Lim Kit Siang bertajuk ‘Malaysian First’, yang membukukan perjalanan berlikunya dalam memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.

Saya menghormati kesungguhan dan kecekalan saudara Kit dalam berdepan hiruk pikuk perjuangan bersama teman-teman lain selama puluhan tahun tanpa goyah dan gentar.

Persahabatan kami yang terjalin sejak saya mengemudi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pastinya cukup bermakna.

Kesungguhan saudara Kit untuk merencana reformasi lahir daripada cetusan kebimbangan melihat negara ini yang kian dibelenggu dengan pelbagai masalah, terutamanya identiti politik yang merosakkan hingga mempengaruhi pemikiran rakyat untuk mengutamakan kaum dan warna kulit dalam penilaian.

Saya memilih untuk bersama-sama dengan saudara Kit dalam jalur perjuangan ini sejak 1998.

Menilai semula keputusan ini, saya yakin ia adalah keputusan yang tepat tanpa terdetik walau secebis kesal.

Sejak mengemudi negara dua tahun lalu, kerajaan ini masih mendukung perjuangan sama yakni memastikan Malaysia diangkat sebagai negara hebat, bersatu serta menjuarai hak setiap rakyat, tanpa meminggirkan identiti asas negara — bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu serta hak Melayu dan Bumiputera.

Justeru di hadapan teman-teman seperjuangan, saya menyatakan dengan tegas bahawa saya dan kerajaan Madani tidak pernah meninggalkan perjuangan dan agenda reformasi yang telah kita dukung bersama selama ini.

Gambar fail.

Reformasi ini telah bermula dengan memperbetulkan tatakelola bagi melawan rasuah yang sistemik dan tadbir urus lemah.

Saya mulakan dengan menghapuskan amalan rundingan terus dan pengaruh menteri dalam perolehan kerajaan — reformasi penting namun dipandang enteng pengkritik.

Tanpa korban kestabilan

Saya mendengar desakan-desakan untuk menyegerakan reformasi yang kita dambakan, namun sejarah mengajar kita untuk pintar dan cermat dalam membawa perubahan tanpa mengorbankan kestabilan negara.

Namun ada juga suara memualkan daripada segelintir yang kononnya mendakwa kerajaan “gagal” melaksanakan agenda reformasi dalam tempoh dua tahun ini, sedangkan mereka jugalah yang sebelum ini sanggup mencium kaki penyakau dan perasuah.

Kerajaan Madani harus terus kukuh, bersama dan kekal mentadbir untuk merealisasikan agenda reformasi ini, kerana kegagalan bererti negara ini akan kembali di bawah pemerintahan pelampau agama dan perkauman.

Terima kasih saudara Kit yang terus menjadi teman sejati yang setia.

Saya hargai setiap pandangan, nasihat dan sokongan untuk kita menyaksikan agenda reformasi menjadi kenyataan demi sebuah negara Malaysia yang lebih baik.


ANWAR IBRAHIM ialah perdana menteri Malaysia.

Artikel ini asalnya hantaran penulis di media sosial dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS