Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Platform medsos wajib ada pasukan penyederhanaan kandungan tempatan
Diterbitkan:  Dec 20, 2024 9:22 PM
Dikemaskini: 1:22 PM

Penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial diwajibkan memastikan mereka sentiasa mempunyai pasukan penyederhanaan kandungan tempatan di Malaysia.

Menurut Kod Tata Laku (Amalan Terbaik) yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pasukan ini perlu dilengkapi dengan latihan dan sokongan yang membolehkan mereka memahami nuansa, konteks dan sensitiviti masyarakat Malaysia.

Pasukan penyederhanaan kandungan itu juga bertanggungjawab memberikan tindak balas yang cepat dan berkesan dalam semua situasi, menurut kod tersebut.

“Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) telah dibangunkan untuk menyokong kerangka kelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan penyedia perkhidmatan media sosial, yang menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh penyedia perkhidmatan dalam menangani kandungan dalam talian yang memudaratkan dan keperluan tatalaku yang lain.

"Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) bertujuan untuk memastikan penyedia perkhidmatan mengutamakan keselamatan dalam talian, terutamanya untuk kanak-kanak dan golongan rentan.,” kata MCMC dalam satu kenyataan.

Bulan lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengulangi pendirian kerajaan untuk melaksanakan rangka kerja kawal selia atau pelesenan kepada penyedia perkhidmatan bagi menangani pelbagai isu berkaitan internet.

Lesen ASP mulai 1 Januari

Pada 27 Julai, MCMC mengumumkan bahawa semua penyedia perkhidmatan dengan lebih daripada lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia diwajibkan memohon Lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kelas [ASP] mulai 1 Januari.

Kegagalan untuk berbuat demikian akan dianggap sebagai kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kod tata laku ini turut menetapkan beberapa tanggungjawab ke atas penyedia perkhidmatan, termasuk memastikan terdapat langkah disiplin terhadap pengguna yang mencipta dan mengedar kandungan yang melanggar garis panduan dan undang-undang tempatan.

Tindakan tersebut boleh merangkumi amaran, teguran, sekatan, penggantungan atau penamatan akaun pengguna.

Penyedia perkhidmatan juga boleh mencegah pelanggaran berulang dengan menghalang pengguna daripada mencipta akaun baru, menurut kod tersebut.

Selain itu, penyedia perkhidmatan diwajibkan menyerahkan laporan keselamatan dalam talian kepada MCMC setiap enam bulan.

Laporan tersebut mesti merangkumi hasil penilaian risiko pada platform serta penerangan tentang langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan keselamatan dalam talian dan perkara lain yang diminta oleh MCMC.

Penyedia perkhidmatan juga perlu menerbitkan laporan awam tahunan tentang amalan keselamatan dalam talian platform mereka.

“Penyedia perkhidmatan mesti dipertanggungjawabkan atas pemenuhan keperluan tingkah laku yang dinyatakan bagi memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

"Ini termasuk memberikan laporan bagi membuktikan komitmen mereka terhadap penciptaan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua pengguna di Malaysia, terutamanya kanak-kanak dan mereka yang terdedah kepada bahaya dalam talian,” jelas kenyataan itu.

Penyedia perkhidmatan juga dikehendaki menyimpan rekod kandungan yang dipadam dan menjalankan audit secara berkala.

Platform mesra OKU

Selain itu, kod tata laku berkenaan turut menetapkan penyedia perkhidmatan perlu memastikan platform mereka boleh diakses oleh pengguna OKU dengan mematuhi piawaian antarabangsa.

Platform perlu menyediakan format kandungan alternatif dan saluran komunikasi bagi pengguna OKU, menurut kod itu.

Kod Tata Laku (Amalan Terbaik) ini boleh diakses di laman sesawang MCMC melalui pautan di sini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS