Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar tegaskan tak campur tangan mahkamah bebaskan Rosmah
Diterbitkan:  Dec 20, 2024 8:39 PM
Dikemaskini: 12:40 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan dalam keputusan mahkamah membebas dan melepaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai.

Anwar berkata keputusan itu tertakluk kepada kuasa mahkamah dan pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan tidak wajar menyamakan pentadbirannya dengan pentadbiran terdahulu berkaitan kes-kes di mahkamah.

"Saya tidak menemui mana-mana hakim, saya tidak bicara dengan Ketua Hakim Negara dalam soal keputusan mahkamah.

"Kita hormati keputusan mahkamah. Kalau dirasakan perlu membuat rayuan, itu keputusan Peguam Negara," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan buku Lim Kit Siang: 'Malaysian First' Jilid 1 dan 2 di Ipoh hari ini.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Rosmah daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K Muniandy membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu untuk membatalkan kesemua tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut hari ini.

Sementara itu, Anwar memaklumkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah adalah di bawah bidang kuasa negeri dan Yang di-Pertuan Agong.

“Apakah Perdana Menteri tak tahu? Perdana Menteri tahu. Memang dirujuk. Tapi Perdana Menteri yang tahu ini pun, tahu Perlembagaan dan batasannya (kuasa Perdana Menteri).

"Sekarang, setelah Agong perkenan, apa pendirian saya? Saya terima baik keputusan Agong dan mendoakan sebaiknya supaya Tun Musa Aman akan menjadi seorang Yang Dipertua Negeri yang baik untuk Sabah," katanya.

Anwar berkata keputusan mahkamah membebaskan Musa daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada 2020 adalah ketika dalam pemerintahan kerajaan terdahulu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS