mk-logo
Berita
Gabungan NGO tuntut siasatan telus pencemaran di Kg Kelaik
Diterbitkan:  Dec 20, 2024 6:31 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Kumpulan Sokongan Orang Asli Kampung Kelaik menggesa kerajaan menjalankan siasatan telus berhubung pencemaran alam sekitar yang didakwa menyebabkan keracunan logam berat di kampung tersebut.

Kumpulan itu turut mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar melakukan saringan kesihatan penuh ke atas semua penduduk kampung, khususnya komuniti Orang Asli di seluruh negara yang tinggal berhampiran kawasan perlombongan, kuari dan aktiviti pembalakan.

“Langkah ini amat penting untuk memastikan kesihatan mereka tidak terjejas akibat pendedahan kepada bahan-bahan toksik yang terkandung dalam air dan udara tercemar,” menurut kenyataan kumpulan itu.

Gabungan NGO Kumpulan Sokongan Orang Asli Kampung Kelaik itu juga meminta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melaksanakan siasatan telus berhubung pencemaran alam sekitar di kawasan berkenaan.

"Justeru, jika penyiasatan keracunan logam berat terhadap penduduk Orang Asli Kampung Kelaik tidak dijalankan dengan telus, kami percaya prasangka terhadap tindak-tanduk kerajaan akan semakin kuat di kalangan komuniti.

"Penyiasatan mengenai isu keracunan logam berat di Kampung Kelaik harus dilakukan berdasarkan prinsip urus tadbir yang baik. Ini termasuklah ketelusan dalam penyampaian hasil kajian dan penjelasan yang jelas tentang bagaimana kesimpulan dibuat,” tambah mereka.

Pendedahan kromium tinggi

Laporan Malaysiakini baru-baru ini mendedahkan paras kromium yang tinggi, iaitu logam berat bersifat karsinogenik, ditemui dalam darah seorang penduduk Kampung Kelaik yang secara sukarela menjalani ujian.


BACA BERKAITAN:

‘Maut di sungai merah’ - Orang Asli risau anak-anak keracunan

Orang Asli harungi ‘sungai maut’ - melawan lombong bijih di hutan Kelantan

Beberapa penduduk lain turut dikesan mengalami masalah kulit, sementara seorang doktor yang merawat mereka memberitahu Malaysiakini terdapat penduduk yang mengadu sesak nafas selepas keluar dari sungai.

Kira-kira 200 penduduk Orang Asli suku Temiar di Kampung Kelaik sebelum ini menyuarakan amaran berhubung kemusnahan alam sekitar dan risiko kesihatan namun tiada tindakan diambil.

Antara 2022 dan 2023, mereka cuba mendapatkan perintah injunksi mahkamah bagi menghentikan semua aktiviti yang mengubah landskap tanah adat warisan nenek moyang mereka seluas 8,000 hektar termasuk pembalakan, ladang kelapa sawit dan durian serta perlombongan. Namun, usaha mereka menemui kegagalan.

Tidak berputus asa, komuniti tersebut memfailkan saman terhadap 10 syarikat, kerajaan Kelantan dan tiga agensi kerajaan atas dakwaan pencerobohan tanah adat mereka. Kos guaman dan sokongan dibiayai melalui kempen pengumpulan dana awam.

Tiada penguatkuasaan tegas

Dalam kenyataan tersebut, gabungan NGO itu melahirkan rasa kecewa terhadap pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang bertujuan meningkatkan penalti terhadap pencemaran air.

Pada bulan Julai lalu, kerajaan telah membuat pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang merangkumi denda yang lebih berat bagi kesalahan serius seperti pencemaran air daratan dan pelepasan minyak atau bahan berbahaya ke dalam perairan Malaysia.

Denda yang dikenakan boleh mencapai antara RM50,000 hingga RM10 juta, serta hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun.

"Namun, peningkatan penalti ini dilihat tidak akan cukup berkesan dalam memulihkan alam sekitar sekiranya tiada ketelusan dalam pelaksanaan langkah-langkah pencegahan, pemantauan yang berterusan, dan penguatkuasaan yang efektif.

"Tanpa tindakan yang tegas dan penyelesaian yang menyeluruh terhadap punca pencemaran, peningkatan denda sahaja tidak akan memberikan impak yang signifikan dalam usaha memelihara alam sekitar dan mencegah kerosakan yang lebih teruk," kata kenyataan itu lagi.

Merujuk kepada insiden kematian 15 Orang Asli dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang pada 2019, kumpulan tersebut menegaskan kebimbangan penduduk Kampung Kelaik sangat wajar.

“Mereka telah lama hilang kepercayaan terhadap sistem pemerintahan dan politik di Malaysia kerana seringkali ditipu, ditindas, dan dipergunakan tanpa diberikan maklumat yang jelas atau tepat,” kata kumpulan tersebut.

Kumpulan itu turut mendakwa penduduk Kampung Kelaik tidak mempercayai kerajaan sehingga ada yang enggan menerima vaksin Covid-19.

Gabungan NGO desak siasatan telus

Kumpulan Sokongan Orang Asli Kampung Kelaik ini dianggotai oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk:

  • Greenpeace Malaysia

  • Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)

  • Parti Sosialis Malaysia (PSM)

  • Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

  • Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat

  • Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA)

  • Sahabat Alam Malaysia (SAM)

  • Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

  • Treat Every Environment Special (TrEES)

Kerajaan mula bertindak

Pada 11 Disember, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa siasatan terhadap dakwaan keracunan kromium di Kampung Kelaik telah dimulakan.

Seminggu kemudian, pada 18 Disember, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan bahawa perintah henti kerja telah dikeluarkan kepada dua pengendali lombong bijih besi yang disyaki menyebabkan pencemaran di Sungai Kelaik.

Menurut Nik Nazmi, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati lombong milik Aqua Orion Sdn Bhd beroperasi tanpa kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) manakala lombong milik Redstar Capital Sdn Bhd didapati tidak beroperasi.

Kumpulan Sokongan Orang Asli Kampung Kelaik menegaskan siasatan telus dan tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan kelangsungan hidup penduduk Orang Asli Kampung Kelaik dan hak mereka terhadap tanah adat dipelihara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS