Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendakwaan fail rayuan terhadap pembebasan Rosmah
Diterbitkan:  Dec 20, 2024 5:06 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Pihak pendakwaan hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar berkata semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan Rosmah, 73, untuk membatalkan semua 17 pertuduhan yang dipertuduhkan ke atas beliau.

Dia berkata seterusnya mahkamah memerintahkan Rosmah  yang merupakan isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua 17 pertuduhan tersebut.

“Susulan itu, notis rayuan telah difailkan oleh Pendakwa Raya hari ini terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut untuk diputuskan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara hari ini.

Hakim K Muniandy dalam keputusannya semalam memutuskan pertuduhan terhadap Rosmah adalah tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam pertuduhan yang dikenakan.

Pada 4 Okt 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Aras Bawah, 148 Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara 4 Dis 2013 hingga 8 Jun 2017, dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur antara 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama. 

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil haram tersebut atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika disabitkan.

Pertuduhan berkaitan pengelakan cukai pula dibuat di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, yang mewajibkan beliau mengemukakan borang taksiran pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN selewat-lewatnya pada 30 April bagi tahun 2014, 2015, 2016, 2017, dan 2018, tanpa alasan munasabah, melanggar Seksyen 112 akta tersebut.

Selain kes ini, Rosmah sedang merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kes rasuah melibatkan projek sekolah luar bandar solar hibrid 369 sekolah. 

Pendengaran rayuan tersebut dijadualkan pada 5 Mac tahun depan di Mahkamah Rayuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS