Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah batal saman pemula lelaki mohon gali kubur bapa
Diterbitkan:  Dec 20, 2024 5:06 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Mahkamah Tinggi di Seremban hari ini membenarkan permohonan Kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh seorang lelaki bagi menggali semula kubur bapanya yang dikebumikan secara Islam, tujuh tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan tersebut selepas meneliti permohonan, afidavit dan hujahan bertulis yang dikemukakan kepada mahkamah.

“Atas pertimbangan dan kebarangkalian, mahkamah memutuskan untuk membenarkan permohonan yang difailkan oleh responden ketiga (Kerajaan Negeri Sembilan) dan responden keempat (MAINS),” katanya.

Saman pemula tersebut difailkan oleh Roseli Mahat, 51, pada 31 Julai 2023 dengan menamakan lima responden iaitu Kerajaan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kerajaan Negeri Sembilan, MAINS dan Ketua Polis Negara.

Plaintif yang hadir di mahkamah hari ini sebelum ini mendakwa bahawa bapanya Mahat Sulaiman mengamalkan agama Hindu Baba Nyonya sejak lahir pada 1941 dan telah meninggal dunia pada 9 Sept 2017 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sikamat di Negeri Sembilan.

Peguam mewakili Kerajaan Negeri Sembilan Roziaton Mohd Nordin yang ditemui pemberita selepas prosiding berkata terdapat dua isu utama dibangkitkan iaitu kegagalan plaintif menamakan pelaku kecuaian 'tortfeasor' dan tindakan tersebut terhalang oleh had masa.

“Tuntutan pemohon jelas tidak berasas dan merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah. Malah, pemohon telah terhalang oleh had masa menurut Seksyen 2 Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.

“Pemohon mengambil masa yang terlalu lama untuk memulakan tindakan ini dan hanya selepas enam tahun iaitu melebihi 34 bulan atau hampir tiga tahun daripada berakhirnya kausa tindakan pemohon,” katanya.

Peguam mewakili MAINS Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pula menegaskan kertas kausa yang difailkan plaintif adalah tidak teratur dan perlu dibatalkan serta penentuan sama ada si mati beragama Islam atau tidak ketika kematiannya adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil.

"Mahkamah Sivil tidak boleh masuk campur dalam hal ini dan kalau dia tidak puas hati keputusan pengebumian dibuat secara Islam, dia mesti memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman namun permohonan itu telah melampaui had masa," katanya.

Peguam plaintif S Karthigesan berkata anak guamnya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung permohonan untuk menggali semula kubur bapanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS