Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih: Jangan lupa rakyat boleh merenggut kuasa k'jaan madani
Diterbitkan:  Dec 20, 2024 1:40 PM
Dikemaskini: 5:56 AM

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini memberi peringatan kepada kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa kuasa yang mereka miliki hari ini datang daripada rakyat yang boleh merenggut kuasa berkenaan.

Amaran itu dikeluarkan susulan tindakan yang didakwa menyekat kebebasan bersuara ke atas beberapa aktivis masyarakat baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan media, hari ini, Bersih menyatakan solidariti bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan pelukis grafik Fahmi Reza, yang berdepan tindakan pihak berkuasa yang dianggap sebagai intimidasi dan menyempitkan ruang kebebasan awam.

“Intimidasi dan siasatan terhadap para aktivis ini menunjukkan bahawa ruang sivil rakyat semakin hari semakin ditekan dan disempitkan oleh para penguasa. 

“Adakah ini semangat reformasi dan kebebasan yang dilaungkan oleh Kerajaan Madani? Adakah rakyat kini sudah tidak boleh berkarya dan menjadi kritikal terhadap kerajaan?

“Kerajaan Madani jangan pernah lupa bahawa rakyat yang menaikkan mereka ke puncak kekuasaan, dan rakyat juga boleh merenggut semula kekuasaan itu,” kata jawatankuasa pemandu Bersih.

Bersih merujuk kepada tindakan polis Pulau Pinang pada 18 Disember lalu yang didakwa melakukan intimidasi terhadap pameran anjuran Suram di Georgetown. 

Adalah dilaporkan lebih daripada 10 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan Balai Polis Pusat terlibat dalam tindakan itu, termasuk oleh ketua balai polis tersebut.

Mereka dikatakan mengambil gambar peralatan pameran, menyoal kakitangan Suaram, dan cuba mendapatkan kad pengenalan semua petugas.

Dalam insiden berasingan, Fahmi Reza pula dipanggil untuk siasatan di bawah Akta Hasutan susulan karya grafik satiranya, yang dimuat naik di media sosial.

Menurutnya, dirinya disiasat bawah tiga undang-undang susulan lukisan grafik yang memaparkan Musa Aman, yang baru-baru ini dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, sebagai “koruptor nombor satu” negeri itu.

Fahmi kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA), dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Sementara itu mengulas topik yang sama Pengarah Lawyer for Liberty (LFL) Zaid Malek berkata, siasatan polis terhadap karya seni satira Fahmi, yang mengkritik pelantikan Musa Aman sebagai yang di-pertua Sabah, mencetuskan persoalan tentang komitmen sebenar kerajaan Madani terhadap kebebasan bersuara.

Katanya, tindakan pihak berkuasa itu dianggap sebagai ironi besar, terutamanya selepas kenyataan Anwar baru-baru ini bahawa "seni harus bergerak bebas dan digalakkan, termasuk mereka yang mengkritik kuasa."

Zaid Malek

Pengkritik menyifatkan siasatan ini sebagai bukti kepura-puraan kerajaan. Walaupun Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berjanji untuk memansuhkan undang-undang seperti Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, undang-undang tersebut terus digunakan untuk menekan kebebasan bersuara,” katanya.

Zaid berkata penggunaan undang-undang zalim itu  menimbulkan persoalan serius mengenai kesungguhan Kerajaan Madani untuk melindungi hak kebebasan bersuara. 

“Bagaimana kita boleh menjadi negara demokrasi apabila rakyat dikenakan siasatan dan pendakwaan jenayah kerana mengkritik mereka yang berkuasa?” soalnya.

Zaid berkata, LFL sehubungan itu menggesa kerajaan supaya menghentikan semua siasatan terhadap Fahmi serta mengambil langkah segera untuk memansuhkan Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kerajaan harus membuktikan komitmen mereka terhadap kebebasan bersuara bukan hanya melalui kata-kata, tetapi tindakan nyata,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS