Kelab Feminisme UM menuntut Universiti Malaya (UM) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap ahli akademiknya yang dikaitkan dengan salah laku gangguan seksual dengan menghantar gambar bogel kepada penuntut.
Sehubungan itu, kelab berkenaan menghantar memorandum menuntut tindakan segera diambil pentadbir UM terhadap ahli akademik berstatus profesor tersebut.
Memorandum berkenaan diserahkan Presiden Kelab Feminisme UM, Chin Jes Weng kepada wakil universiti.
Tiga tuntutan dikemukakan dalam memorandum, antaranya mendesak tugas pensyarah berkenaan digantung, siasatan kes secara adil dan tegas, serta memperbaiki kelemahan polisi anti gangguan seksual sedia ada.
Sebelum penyerahan memorandum, kira-kira 30 pelajar dan wakil kelab berhimpun di depan bangunan Canseleri UM dan antaranya melaungkan slogan “hidup mahasiswa” serta menuntut pihak universiti mengambil tindakan tegas terhadap pensyarah berkenaan.
Mereka juga meminta UM supaya memastikan persekitaran kampus selamat daripada ancaman gangguan seksual.
Perhimpunan itu berlangsung hampir satu jam sebelum memorandum diserahkan dan peserta bersurai.
Ketika ditemui, Chin berkata himpunan bukan bertujuan untuk mengecam badan pentadbir universiti berkenaan.
"Kami akan memantau perkembangan siasatan ini (terhadap pensyarah).
"Sebenarnya kami mengadakan sidang media ini bukan untuk menghentam pihak pentadbir kerana mereka akan menyiasat perkara ini," katanya.
Semalam, UM dalam kenyataan berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan terhadap pensyarah tersebut.
“UM mengesahkan telah menerima laporan berkenaan kes yang dibangkitkan oleh Kelab Feminisme UM, yang turut dilaporkan oleh beberapa agensi media tempatan,” menurut UM dalam kenyataan.