Nama 'Tok Yah' dan 'DK' didedahkan sebagai dalang utama dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket 'fly' membabitkan rasuah RM1.2 juta, kata satu sumber SPRM.
Bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat namanya tidak didedahkan, sumber SPRM itu memberitahu, ketika siasatan salah seorang Orang Kena Tahan (OKT) mendedahkan nama-nama berkenaan.
"Dalam siasatan dia memang sebut nama dua individu ini. Dia kata dia terima arahan Tok Ayah dan DK.
"Menurut OKT itu, Tok Ayah adalah pegawai atasan dia dan DK adalah seorang berpengaruh. Jadi, dia tiada pilihan," kata sumber SPRM yang berpengetahuan tentang kes ini kepada Malaysiakini.
DK merupakan warga tempatan dan ahli perniagaan dari Johor sementara 'Tok Ayah' ialah pegawai kanan dalam sebuah agensi kerajaan
Malaysiakini pernah mendedahkan dakwaan bahawa DK dan 'Tok Ayah' sebagai dua dalang utama yang masih bebas daripada sebarang tindakan.
Untuk rekod, pada 4 Dis, SPRM telah menahan empat individu termasuk tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang ejen berkaitan sindiket 'fly' yang merupakan sindiket penipuan cop keluar-masuk pekerja asing tanpa memerlukan kehadiran warga asing secara fizikal.
Pegawai-pegawai JIM itu didakwa terlibat dalam amalan rasuah dan pengubahan wang haram dengan bersekongkol dengan ejen yang menguruskan pas warga asing untuk tinggal lebih lama.
Menurut satu sumber lagi, empat individu tersebut telah ditahan reman selama empat hari bermula 5 Disember dan kes ini kini disiasat oleh SPRM Putrajaya.
"Tangkapan dibuat di SPRM Johor. Tapi HQ (Putrajaya) dah ambil alih (siasatan)," katanya.
Tambahnya, selain sindiket 'fly' mereka juga disiasat atas dakwaan terlibat dengan sindiket visa perubatan.
Apa itu sindiket 'fly'?
Sumber berkata 'Fly' ialah sindiket yang membolehkan warga asing tinggal lebih masa di negara ini atau 'diputihkan" daripada senarai hitam melalui penipuan cop keluar masuk.
Dia turut mendedahkan modus operandi yang digunakan oleh sindiket terbabit.
"Ejen akan tunggu di satu tempat. Kemudian anggota JIM yang terlibat akan rancang bawa keluar satu cop pergi jumpa ejen di satu tempat.
“Kemudian mereka akan cop semua pasport yang dibawa oleh ejen dan diberikan wang dalam sampul sebagai balasan. Anggota akan balik dan ambil balasan bahagian masing-masing.
"Warga asing yang lebih masa tadi akan dapat cop masuk baru dan sah untuk 30 hari dan sekiranya ditahan dia tidak akan ditangkap kerana ada cop masuk yang sah," kata sumber KDN kepada Malaysiakini.