Petisyen yang membantah kononnya kerajaan akan mengenakan syarat tambahan kepada warga emas untuk memperbaharui lesen memandu mereka berjaya mendapat sokongan sekurang-kurangnya 4,000 tandatangan, walaupun dakwaan itu adalah tidak benar.
Malah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah berulang kali menangkis dakwaan itu sejak November.
Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli pada November lalu berkata tiada arahan bagi menetapkan ujian kecekapan tambahan bagi pemandu berusia 65 tahun ke atas yang ingin memperbaharui lesen mereka.
Khabar angin itu mula tersebar di media sosial ketika perbincangan hangat sama ada ujian seperti itu perlu dikenakan ke atas pemandu yang lanjut usia mereka atau tidak.
Pada 25 November lalu, seorang wartawan pada sidang akhbar bertanya kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke jika kementerian akan mempertimbangkan cadangan itu.
"Kita menerima baik cadangan laporan tersebut, tetapi ia perlu diteliti lebih lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat oleh pihak Kementerian Pengangkutan.
"Sudah tentu ada implikasinya dan kita kena lihat kelebihan dan kekurangannya apabila apa-apa syarat tambahan (baharu) diletakkan
"Jadi, apa-apa syarat tambahan ini kita sentiasa berhati-hati supaya tidak memberikan implikasi negatif apabila ada sesuatu syarat baharu dikenakan," kata Loke.
Awal minggu ini, JPJ sekali lagi menegaskan bahawa tiada ujian tambahan diperlukan untuk warga emas yang ingin memperbaharui lesen memandu mereka, dan tiada risiko bahawa lesen mereka akan dibatalkan.
Ini selepas siaran di media sosial mengenai isu itu kembali tular.