mk-logo
Berita
MP gesa moratorium siasatan, pendakwaan ke atas karya satira dan parodi
Diterbitkan:  Dec 20, 2024 10:42 AM
Dikemaskini: 2:42 AM

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan menggesa moratorium dikenakan ke atas mana-mana siasatan dan pendakwaan di bawah Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melibatkan karya satira dan parodi.

Dalam kenyataan hari ini, Syahredzan membangkitkan pindaan terhadap akta tersebut ketika mengulas berkenaan siasatan terbaru terhadap Fahmi Reza berhubung grafik yang menyebut Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru, Musa Aman, sebagai "koruptor nombor satu" negeri itu.

“Jelas bahawa keputusan kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) pindaan terhadap Akta 588 yang antara lain mengeluarkan satira dan parodi daripada elemen ‘palsu’ dalam Seksyen 233(1) adalah satu langkah yang diperlukan dan akan membuka ruang demokrasi yang lebih luas untuk karya seni dan sastera.

“Kelulusan Parlimen bagi RUU ini memberikan mesej jelas mengenai keperluan melindungi satira dan parodi. Akan tetapi, pindaan-pindaan tersebut masih belum berkuatkuasa.

“Sementara menunggu proses perkenan diraja, pewartaan dan penentuan tarikh kuat kuasa bagi pindaan-pindaan tersebut, moratorium wajar dikenakan ke atas apa-apa siasatan dan pendakwaan di bawah Seksyen 233(1) Akta 588 berkait karya satira dan parodi,” kata ahli Parlimen DAP itu.

Fahmi Reza

Semalam, Fahmi yang merupakan seorang pereka grafik mengkritik kerajaan kerana tidak menunaikan janji untuk memansuhkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta gagal menepati jaminan agar satira dan parodi dilindungi di bawah pindaan baru seksyen itu.

“Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan yang sebelum masuk parti politik, masuk DAP, jadi ahli parlimen, dia peguam untuk kes aku, dia keluar kenyataan satira dan parodi dibenarkan, tidak lagi jenayah,” katanya.

Mengulas lanjut, Syahredzan berkata moratorium tersebut bagi menghormati penzahiran niat perundangan (legislative intention) dalam meluluskan RUU pindaan tersebut.

Dia juga mengingatkan pihak berkuasa bahawa setiap warga Malaysia mempunyai hak kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.

“Hak ini hanya boleh disekat melalui undang-undang sekiranya ia menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya,” katanya lagi.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan seni harus bergerak bebas, termasuk yang bersifat kritikal terhadap kekuasaan, dalam usaha membangun bangsa yang maju.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS