Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM kata air di Kg Kelaik selamat, tapi sampel bukan dari sungai ‘berkarat'
Diterbitkan:  Dec 20, 2024 10:25 AM
Dikemaskini: 8:49 AM

Note editor: Laporan ini dikemas kini untuk memberikan gambaran lebih tepat.

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan sampel air dari sumber yang digunakan penduduk Kampung Kelaik bebas daripada pencemaran logam berat, namun sampel itu berkemungkinan bukan dari sungai tercemar di hilir kawasan perlombongan bijih besi.

Menurut kenyataan KKM, sampel air yang diperoleh daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) adalah dari tandak (takungan kecil).

Seorang penduduk kampung ketika dihubungi berkata, Jakoa hanya menyelenggara satu tandak kecil di Sungai Keng Hung di Bukit Jabil, yang membekalkan air kepada kira-kira 36 rumah.

“Air ke baki 30 rumah lain datang dari (tandak lain yang dibekalkan oleh) Sungai Cendewang di Bukit Jabil dan Sungai Hug di bukit lain, yang diselenggara penduduk kampung,” kata Amino Angah.

Bagaimanapun, aliran sungai yang membekalkan sumber air alternatif kepada Kampung Kelaik terlalu kecil untuk menampung populasi ikan.

Ketika Malaysiakini mengadakan lawatan awal tahun ini, tandak kecil itu dipenuhi pasir dan serpihan, menyebabkan paip sering tersumbat selepas hujan lebat, sehingga penduduk terpaksa bergantung kepada sungai ‘berkarat’ di Sungai Cenderoh dan Sungai Kelaik untuk bekalan air selama beberapa hari.

Penduduk juga menggunakan air sungai "berkarat" itu untuk mandi, mencuci dan menangkap ikan atau katak.

Sejak aktiviti perlombongan bijih besi bermula pada 2009, sungai-sungai di sekitar Kampung Kelaik bertukar menjadi warna ‘merah berkarat’. Ujian terkini yang dijalankan Malaysiakini mendapati tahap kromium yang sangat tinggi iatu bahan karsinogen – dalam darah seorang penduduk kampung.

KKM dalam kenyataannya berkata air dari tandak Jakoa menunjukkan tiada pelanggaran had piawaian kandungan logam berat seperti aluminium, arsenik, ferum dan kromium.

Namun, kementerian itu tidak menyatakan hasil ujian di lokasi lain yang menjadi sumber air bagi masyarakat Temiar di Kampung Kelaik, atau lokasi spesifik tempat sampel diambil.

IMR siasat potensi keracunan logam berat

Tahap kromium yang tinggi dalam darah seorang penduduk boleh meningkatkan risiko kanser sebanyak 64,000 kali ganda, menurut Vivien How, pakar kesihatan kimia yang menyemak hasil ujian tersebut.

Selain itu, ramai penduduk kampung juga mengalami lesi kulit, manakala seorang doktor yang merawat mereka berkata mereka mengadu kesukaran bernafas selepas keluar dari sungai.

Simptom keracunan kromium termasuk masalah pernafasan dan dermatitis sentuh. Doktor yang enggan dinamakan itu dan How menasihatkan penduduk untuk mengelak daripada menggunakan air sungai tersebut.

Bagaimanapun, KKM berkata pemeriksaan kesihatan terhadap 200 penduduk Kampung Kelaik pada 23 September lalu mendapati "tiada kes akut disebabkan keracunan logam berat dilaporkan setakat ini".

Pemeriksaan kesihatan rutin oleh KKM tidak termasuk ujian darah bagi logam berat.

Namun, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai potensi keracunan logam berat di kalangan penduduk.

“KKM melalui perkhidmatan kesihatan sedia ada akan terus memantau tahap kesihatan penduduk Kampung Kelaik. Penduduk dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami sebarang isu kesihatan, termasuk penyakit kulit,” kata KKM.

Arahan henti operasi

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad berkata dua syarikat perlombongan telah diarah menghentikan operasi mereka sementara menunggu siasatan lanjut.

Salah satu syarikat – Aqua Orion Sdn Bhd – didapati menjalankan aktiviti tanpa tidak memperoleh kelulusan yang diperlukan, termasuk laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang sah, meskipun telah beroperasi sejak 2015.

Lesen Aqua Orion akan tamat pada tahun depan, manakala satu lagi syarikat perlombongan, Redstar Capital Sdn Bhd, memperolehi lesen sehingga 2030.

Redstar Capital, yang didapati tidak beroperasi semasa pemeriksaan dilakukan Jabatan Alam Sekitar minggu ini, mendakwa mematuhi semua peraturan dan tidak membuang efluen ke sungai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS