Seorang peserta pertandingan ratu cantik mahu mengheret penganjur ke mahkamah selepas mendakwa ditipu dalam acara itu.
Menurut U Nanthinie, pada Sept 2023 penganjur berjumpa dan memberitahu bahawa dia sesuai untuk mengambil bahagian dalam pertandingan Miss & Mrs Curvy International 23/24, satu pertandingan ratu cantik bagi wanita berbadan besar.
Namun dia merasa tertipu selepas penganjur mengenakan yuran tambahan RM2,000 meski memaklumkan tiada yuran sedemikian sebelumnya.
"Saya diberitahu fi untuk menyertainya adalah RM500. Saya pun bersetuju untuk mengambil bahagian selepas percaya pertandingan itu boleh menjadi satu platform untuk kemajuan diri sendiri.
"Ketika itu, penganjur memberitahu bahawa selain yuran penyertaan RM500, tiada sebarang kos tambahan. Namun, pada Disember 2023, ketika menandatangani kontrak, penganjur meminta tambahan RM2,000.
"Ada beberapa peserta tarik diri dengan yuran baru itu. Tapi, saya mengambil keputusan meneruskan, selepas beberapa bekas peserta ratu cantik memberitahu yuran tambahan adalah satu perkara biasa dalam pertandingan ini," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Parti Urimai Selangor K Gunasekaran, bekas Adun Sabai D Kamache dan beberapa mangsa lain yang mendakwa ditipu oleh penganjur yang sama.
Syarat jual tiket
Kata Nanthinie, pertandingan itu telah ditunda beberapa kali atas alasan kekurangan dana.
Selain itu, dia mendakwa penganjur juga menetapkan syarat peserta paling banyak mencari tajaan dengan menjual tiket dimasukkan secara automatik ke tiga kedudukan teratas.
"Pada 6 April, dalam satu mesyuarat dalam talian, penganjur memberitahu bahawa tiga peserta yang menjual tiket paling banyak akan dimasukkan secara automatik dalam tiga kedudukan teratas.
"Mereka juga meletakkan beberapa syarat baru, menjadikan saya membangkitkan ketidakpuasan hati saya. Ketika seorang peserta berkata nak tarik diri, penganjur mengugut bahawa dia perlu bayar RM5,000 sebagai penalti seperti dipersetujui dalam kontrak.
"Dengan melabur banyak masa, tenaga, wang untuk membeli pakaian dan sebagainya, saya tiada pilihan lain, selain bersetuju kehendak penganjur," katanya.
Katanya, dalam pertandingan itu, dia menduduki lima kedudukan teratas dalam pertandingan akhir selain dinobat pemenang pakaian tradisional terbaik dan ‘best advocacy’.
Namun, katanya dia telah menyerah balik semua gelaran dimenanginya.
"Selepas pertandingan, saya sekali lagi berjumpa dengan penganjur untuk merakamkan kelemahan dalam pertandingan ini. Tapi, penganjur menyindir saya sebagai 'sore loser' kerana kalah dalam pertandingan.
"Saya juga telah membuat dua laporan polis dan menulis surat ke Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya), tapi sehingga kini tiada tindakan.
"Saya kini mengambil keputusan untuk membawa isu ini ke mahkamah agar rakyat Malaysia akan memahami 'sindiket' di sebalik pertandingan ratu cantik ini," katanya.
Sementara itu, Gunasekaran berkata Motac perlu meletakkan satu garis panduan agar penganjur tidak salah gunakan peserta pertandingan sedemikian.
"Kes ini mangsa penipuan duit. Ini semua perlu dihentikan.
"Kami harap Motac akan memberi perhatian serius dengan isu ini," katanya.
Sementara itu, ketika dihubungi, jurucakap penganjur menafikan segala dakwaan oleh peserta tersebut.
“Kami tak tipu mana-mana peserta. Semuanya terletak dalam kontrak yang ditandatangani.
“Dakwaan ini cuma daripada pihak tak bertanggungjawab.
“Kami sedia menghadapi mereka di mahkamah,” katanya.