Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ambiga: Ada tanda krisis kehakiman mungkin berulang

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan memberi amaran kemungkinan krisis kehakiman berulang.

Semasa forum Majlis Peguam hari ini, Ambiga berkata kelewatan kerajaan sehingga mengambil masa hampir sepuluh bulan untuk mengisi jawatan Hakim Besar Malaya merupakan antara tanda itu, yang menurutnya mengimbau krisis kehakiman 1998.

“Jadi datang dari era itu, apa yang saya lihat sekarang mengingatkan saya sedikit tentang apa yang berlaku ketika itu. Sebab itu saya takut.

"Ada tanda-tandanya, saya memberitahu anda daripada pengalaman saya.

"Dan apakah tanda-tandanya? Sepuluh bulan, tiada pelantikan hakim besar Malaya," katanya kepada hadirin di Wisma Badan Peguam di Kuala Lumpur.

Bulan lalu, Hakim Mahkamah Persekutuan Hasnah Mohammed Hashim mengangkat sumpah sebagai Hakim Besar Malaya selepas Mohamad Zabidin Mohd Diah bersara pada Februari.

Ambiga bertanya sama ada terdapat pihak yang berhasrat untuk menjejaskan badan kehakiman memandangkan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengenai kepentingan badan kehakiman yang bebas.

Tambahnya, apa yang membingungkan ialah tiada penjelasan diberikan untuk kelewatan mengisi jawatan itu.

Dia berkata hasrat kerajaan akan dilihat tahun depan apabila beberapa hakim Mahkamah Persekutuan yang progresif bersara, sambil menambah bahawa dia tertanya-tanya sama ada hakim akan diberikan lanjutan enam bulan.

Krisis kehakiman 1998 berlaku ketika Dr Mahathir Mohamad berkhidmat sebagai perdana menteri dan dia dipersalahkan atas pemecatan hakim selepas pengharaman Umno.

Bagaimanapun, Mahathir mendakwa bahawa dia hanya bertindak atas arahan Yang di-Pertuan Agong Sultan Iskandar Ismail ketika itu, namun putra baginda menyangkal kenyataan itu dengan mengatakan bahawa Mahathir telah "menggunakan" ayahandanya untuk menyingkirkan Tuan Yang di-Pertua Mahkamah Persekutuan di Malaysia ketika itu Mohamed Salleh Abas.

Pemecatan Salleh dilihat secara meluas sebagai permulaan kehilangan kebebasan badan kehakiman.

Ambiga turut melahirkan kekecewaannya terhadap kerajaan pimpinan PH, terutama berkaitan perundangan regresif seperti RUU Mufti Wilayah Persekutuan.

"Setiap minggu kita nampaknya perlu memerhatikan undang-undang yang akan mereka bangkitkan," katanya.

Selain itu, peguam dan pengasas bersama Muda Lim Wei Jiet menyuarakan harapan agar Anwar akan menyokong kebebasan badan kehakiman.

"Saya harap dia tahu apa yang diharapkan daripadanya dan saya harap, dalam ramai orang, dia tahu betapa pentingnya kebebasan kehakiman dan dia menggunakan budi bicaranya dengan sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Ambiga juga berkata dia tidak akan mengundi mana-mana kerajaan yang mengganggu kebebasan badan kehakiman.

"Saya fikir kita perlu menjelaskan kepada kerajaan ini bahawa ada batasan tertentu yang tidak boleh dilangkau dan salah satu daripadanya ialah badan kehakiman," katanya.

"Hakikat ia berlaku di bawah pengawasan Pakatan Harapan (PH) adalah satu kejutan besar kepada saya," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS