Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Artikel isu penebangan hutan Mkini dipilih laporan penyiasatan terbaik Asia Tenggara
Diterbitkan:  Dec 19, 2024 10:06 PM
Dikemaskini: Dec 20, 2024 2:29 AM

Rangkaian Kewartawanan Penyiasatan Global (GIJN) memilih artikel Malaysiakini mengenai penebangan hutan sebagai salah satu Laporan Penyiasatan Terbaik dari Asia Tenggara untuk 2024.

Ia adalah salah satu daripada lapan artikel dari wilayah itu yang dipilih untuk tahun ini.

Laporan bertajuk "Timber grab: The truth behind Pahang oil palm plantations" (atau versi bahasa Melayu "Ada Balak di Balik Sawit") itu ditulis oleh Low Choon Chyuan dan diterbitkan oleh Kini News Lab pada 1 April lalu.

Ia telah dikarang dengan kerjasama Persekutuan Penyiasatan Hutan Hujan Pusat Pulitzer.

“Ahli GIJN dan penganjur bersama GIJC25 Malaysiakini, dengan kerjasama Persekutuan Penyiasatan Hutan Hujan Pusat Pulitzer, menyiasat salah satu ladang kelapa sawit terbesar, terletak di hutan dara berhampiran dengan kawasan tanah terpelihara alam sekitar terbesar di negara ini.

“Aktiviti pembalakan ladang itu mengancam spesies terancam, seperti harimau, dan telah mengganggu serta mencemarkan bekalan air untuk penduduk kampung berhampiran,” kata GIJN dalam artikel yang diterbitkan semalam.

Artikel Malaysiakini itu antara lain menonjolkan bagaimana aktiviti pembalakan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah mengganggu bekalan air di kampung berhampiran Hulu Tembeling, Pahang.

Ia juga menyerlahkan cara projek sebegitu dihubungkan dengan VIP dan GLC.

Untuk kategori laporan terbaik, GIJN memilih lima dari Indonesia - dan masing-masing satu dari Myanmar, Malaysia dan Filipina.

Secara keseluruhannya, GIJN berkata kemusnahan alam sekitar kekal sebagai isu utama di Asia Tenggara.

“Akan ada banyak cabaran pada tahun-tahun akan datang. Indonesia, sebagai contoh, mempunyai presiden baru yang segera membangkitkan kebimbangan di kalangan rangkaian masyarakat sivil mengenai dasar-dasarnya yang kelihatan bertentangan terhadap kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara.

“Senarai penyiasatan yang disertakan dalam pusingan Asia Tenggara tahun ini menekankan jenayah rentas sempadan yang semakin canggih di rantau ini, tetapi juga bagaimana wartawan penyiasat secara konsisten memainkan peranan penting dalam mendedahkannya - melalui pengesahan yang ketat, alat digital yang inovatif dan persembahan yang menarik secara visual,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS