Hukuman sebatan di tempat awam yang dikenakan terhadap seorang tukang rumah di Terengganu didakwa melampaui bidang kuasa undang-undang persekutuan, khususnya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
"Undang-undang tersebut hanya membenarkan hukuman sebat, bukan sebat di tempat awam,” kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Menurut Suhakam, Perkara 125(3)(c) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu 2001, yang membenarkan Mahkamah Syariah menentukan tempat pelaksanaan hukuman sebat di hadapan khalayak, tidak diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah.
Justeru, kata Suhakam, pelaksanaan hukuman sebat di hadapan khalayak melampaui atau ultra vires terhadap Akta Mahkamah Syariah dan melanggar had bidang kuasa dalam Perkara 1 Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pada 20 November, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, mengarahkan Mohd Affendi Awang - yang mengaku bersalah atas kesalahan khalwat buat kali ketiga - disebat sebanyak enam kali di tempat awam.
Duda itu menjadi individu pertama yang disebat secara terbuka bagi kesalahan jenayah syariah di Terengganu.
Pada 15 Disember, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu mengekalkan hukuman tersebut selepas pelaksanaannya ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
Hukuman sebat itu kini dijadualkan pada 27 Disember di Masjid Al Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Dalam kenyataan itu, Suhakam menyatakan bahawa hukuman sebat di tempat awam adalah penghinaan terhadap maruah manusia dan melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk hidup dan kebebasan diri, yang turut merangkumi hak untuk hidup dengan maruah (Tan Tek Seng v Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan [1996] 1 MLJ 261).
"Pelaksanaan hukuman secara terbuka memperburuk sifatnya yang menghina, menjadikan individu itu terdedah kepada penghinaan, kesengsaraan, dan rasa malu.
"Amalan sedemikian bukan sahaja tidak konsisten dengan standard hak asasi manusia tetapi juga merendahkan martabat individu dan mengukuhkan stigma, bukannya memberi tumpuan kepada pemulihan," tambah kenyataan itu.
Suhakam mengulangi pendiriannya untuk menyokong penghapusan corporal punishment (hukuman dera).
"Hukuman yang melibatkan kekerasan fizikal dan penghinaan awam tidak mempunyai tempat dalam sistem keadilan moden.
"Ia melemahkan komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia, mencemarkan integriti undang-undang, dan merosakkan maruah individu - satu nilai yang dijunjung oleh semua agama, termasuk Islam," kata Suhakam.
Suhakam menambah, sudah tiba masanya Malaysia meratifikasi Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan, atau Menjatuhkan Maruah (Uncat), seperti langkah banyak negara majoriti Muslim lain.
"Kita mesti berusaha menghapuskan amalan yang melanggar maruah manusia dan memberi tumpuan kepada keadilan pemulihan."