Berikutan pembebasan Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram, 10 NGO berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak boleh lepas tangan.
“Selagi pejabat pendakwa raya tidak dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), tanggungjawab pada perdana menteri dan bukannya AG.
"Itu kerana tempoh perkhidmatan AG dikawal oleh perdana menteri," kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Antara NGO yang menandatangani kenyataan itu ialah Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) dan Rasuah Busters.
Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Rosmah daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K Muniandy mengeluarkan perintah tersebut selepas membenarkan permohonan isteri Najib Razak itu untuk membatalkan kesemua tuduhan terhadapnya.
Permohonan tersebut dibuat atas alasan ia tanpa asas dan pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Bagaimanapun, AGC berkata ia akan memfailkan rayuan.manakala Rosmah menyifatkannya sebagai hadiah hari jadi.
NGO berkenaan mengalu-alukan pengumuman segera AGC untuk memfailkan rayuan terhadap pembebasan itu, namun mereka berkata ia masih tidak cukup untuk memulihkan keyakinan orang ramai.
Mereka memetik contoh bagaimana AGC gagal menyerahkan dokumen yang diperlukan berhubung enam pertuduhan pecah amanah (CBT) Najib membabitkan RM6.6 bilion, yang menyebabkan bekas perdana menteri itu diberikan pelepasan tidak berjumlah pembebasan (DNAA) bulan lepas .
Mereka juga memetik satu lagi kes membabitkan Najib, di mana dia dibebaskan atas tuduhan salah guna kuasa yang melibatkan audit laporan 1MDB.
"Dan kita menyaksikan DNAA untuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk semua 47 pertuduhan beliau selepas 77 hari perbicaraan, keterangan oleh 99 saksi pendakwaan dan kes prima facie," kata NGO itu.
Sehubungan itu, kumpulan berkenaan menggesa Anwar untuk mengumumkan garis masa yang jelas untuk memisahkan pejabat pendakwa raya dan peguam negara.
Mereka menggesa perdana menteri memberi komitmen bahawa AGC tidak akan memfailkan DNAA, menarik balik rayuannya, gagal memfailkan rayuan tepat pada masanya atau melakukan kesilapan litigasi yang akan membolehkan ahli politik terlepas daripada proses mahkamah.
"Sekiranya mana-mana VIP bebas daripada pertuduhan mereka, ia mestilah keputusan hakim selepas perbicaraan penuh dan selepas rayuan terakhir, bukan peguam negara yang dilantik oleh perdana menteri," katanya.