Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Hadi pun lawat duta China, apa yang sensitif?’
Diterbitkan:  Dec 19, 2024 7:00 PM
Dikemaskini: 12:05 PM

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, menyelar seorang senator PAS yang didakwa memutarbelitkan fakta berhubung lawatan pelajar Universiti Tentera Laut China ke sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang pada Oktober lalu.

Katanya, Hussin Ismail terus membangkitkan isu tersebut walaupun kerajaan telah memberikan penjelasan berulang kali.

Wong Kah Woh

Malah, menurutnya Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, baru-baru ini mengunjungi Kedutaan China di Kuala Lumpur.

“Saya tidak faham apakah sensitiviti itu apabila dua hari lepas, ahli Parlimen Marang, YB Tuan Guru Hadi Awang sendiri telahpun melawat membuat kunjungan hormat kepada Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

“Ini sempena sambutan ulangtahun ke-50 Malaysia dengan China,” katanya.

Hussin sekali lagi menimbulkan isu tersebut di Dewan Negara hari ini, dan mendakwa sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang menjemput "Tentera Pembebasan Rakyat China".

Hussin Ismail

Dia juga mahu penjelasan daripada Kementerian Pendidikan mengenai protokol bagi lawatan seumpama itu dan mempersoalkan kemungkinan institusi lain dibenarkan menjemput tentera dari negara berkuasa besar lain.

“Jika jemputan seperti ini diteruskan, adakah akan ada pihak lain yang mungkin mengundang wakil tentera dari negara lain seperti Rusia, Amerika Syarikat atau India?

“Tidakkah ini akan menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat?” katanya.

Hussin demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Wong mengingatkan pemimpin PAS itu supaya berpegang kepada fakta yang jelas dan juga betul.

“Apabila kita kata ada jemputan kepada tentera China yang datang, itu tidak betul, YB.

“Bagi dalam kes yang dimaklumkan oleh YB Senator, program lawatan tersebut adalah program lawatan mesra dan pertukaran kebudayaan antara Naval University of Enginering China dan Sekolah Menengah Swasta Chung Ling.

“Itu berlaku pada 7 Oktober lalu,” katanya.

Program tersebut dianjurkan oleh Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang dan melibatkan 160 pelajar tentera laut dari China. Aktiviti yang diadakan termasuk persembahan budaya seperti tarian tradisional China, manakala pelajar kejuruteraan China menyumbangkan peralatan sukan seperti bola keranjang dan bola sepak kepada sekolah tersebut.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS