Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suaram dakwa intimidasi polis semasa pameran isu 'mati dalam tahanan'
Diterbitkan:  Dec 19, 2024 6:17 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Beberapa tindakan intimidasi polis dilaporkan berlaku sepanjang pameran tiga hari anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Pulau Pinang yang memaparkan isu kematian dan penyeksaan ketika dalam tahanan polis.

Sehubungan itu, Suaram mahu Menteri, Anwar Ibrahim, dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, segera menghentikan semua bentuk pemantauan dan intimidasi polis terhadap organisasi masyarakat sivil (CSO) serta orang awam yang mengetengahkan isu hak asasi manusia dan reformasi institusi.

Sevan Doraisamy

“Jika tidak ditangani, komitmen perdana menteri untuk menangani kematian dalam tahanan - termasuk kenyataan umum pada Hari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan penubuhan pasukan khas mengenai kematian dalam tahanan - berisiko terjejas, sekali gus menghakis kepercayaan awam terhadap komitmen Kerajaan Madani terhadap reformasi institusi,” kata Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy.

Menerusi satu kenyataan, dia mendakwa, beberapa kumpulan anggota polis berulang kali melakukan lawatan pada malam sebelum pameran berlangsung.

Menurutnya, lebih daripada 10 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan Balai Polis Pusat terlibat dalam tindakan itu, termasuk oleh ketua balai polis tersebut.

Mereka dikatakan mengambil gambar peralatan pameran, menyoal kakitangan Suaram, dan cuba mendapatkan kad pengenalan semua petugas.

Pameran yang bermula pagi ini turut menyaksikan kehadiran kereta peronda polis, selain beberapa anggota polis yang berada di luar lokasi acara dilaporkan cuba memasuki ruang pameran berulang kali.

“Tindakan ini mencabuli hak kebebasan bersuara berkaitan isu kematian dan penyeksaan dalam tahanan polis,” kata Sevan.

Katanya, tindakan itu juga melemahkan komitmen pihak polis untuk menangani isu tersebut secara serius.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS